• 2025-07-01 05:58 PM

MELAKA: Tawaran Kadar Kompaun Khas Kadar Rata (Flat Rate) sebanyak RM150 yang sepatutnya tamat semalam dilanjutkan sehingga 31 Disember ini.

Pengumuman ini dibuat oleh Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Aedy Fadly Ramli.

Beliau menjelaskan bahawa lanjutan ini meliputi tiga kategori notis saman.

Ia melibatkan saman Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS) dari Oktober 2018 hingga kini, Notis 114 (notis temu siasat), dan Notis 115 (permintaan butir-butir pemandu) bermula 2023 dan sebelumnya.

“Sehingga semalam, seramai 442,870 saman telah diselesaikan menerusi tawaran Flat Rate yang diperkenalkan pada 2 Januari.

Namun, rekod menunjukkan masih terdapat 2.03 juta saman belum dijelaskan, dengan majoriti iaitu 1.54 juta merupakan saman AWAS,“ katanya selepas meninjau Operasi Khas Pemakaian Tali Pinggang Keledar Bas Ekspres dan Bas Persiaran di Terminal Bas Melaka Sentral hari ini.

Aedy Fadly turut memaklumkan bahawa jumlah saman tertunggak bagi Notis 114 ialah 311,866.

Notis 115 pula mencatatkan 171,321 saman.

Beliau mengingatkan bahawa kegagalan menjelaskan saman yang boleh dikompaun, sama ada tertunggak atau melebihi tarikh kompaun, boleh menyebabkan kenderaan disenarai hitam secara automatik melalui sistem JPJ bermula hari ini.

Bagi syarikat yang mempunyai saman tertunggak, seperti diumumkan Menteri Pengangkutan Anthony Loke minggu lepas, mereka diberi tempoh sehingga 8 Julai sebelum tindakan dikenakan.

“Orang ramai yang mempunyai tunggakan kompaun bagi tiga kategori notis ini, yang sebelum ini dikenakan kadar RM300, digesa mengambil peluang menyelesaikan bayaran pada kadar Flat Rate RM150 sebelum 31 Disember sama ada melalui aplikasi MyJPJ atau kaunter JPJ,“ katanya.