KUALA LUMPUR: Sungguh memilukan apabila Tehran yang tenang dan damai sewaktu kunjungan penulis pada April lepas, kini menyaksikan kemusnahan dan berubah menjadi zon perang hanya dalam sekelip mata.
Pembunuhan dan pengeboman oleh Israel yang bermula 13 Jun lepas, serta kemusnahan kediaman dan harta benda amat menghibakan justeru merencatkan keinginan untuk bertandang sekali lagi ke tempat yang tenang dan masih segar dalam ingatan penulis.
Ketika melewati hari-hari biasa, amat lazim mendapati warga Iran melangkah gagah meneruskan kehidupan harian masing-masing, seolah-olah tanpa gundah dan tidak peduli seandainya ada bahaya serangan tentera yang akan tercetus.
Laluan pejalan kaki di pinggir jalan raya utama yang penulis susuri pada April lepas nyata tenteram, dibias sinar daripada langit cerah, diwarnai kehijauan pepohon.
Tiada kemendungan pada kepulan awan apatah lagi kesuraman pada wajah warganya.
Terutama kalangan yang berusia, mereka duduk di deretan bangku, berbicara mesra seperti biasa penuh tenang dan santai, ada juga antara mereka begitu tekun membaca bait-bait coretan di dada akhbar.
Laluan pejalan kaki -- berfungsi sebagai pembahagi jalan utama -- diteduhi barisan pohon hijau, dan sekali sekala membawa hembusan angin nyaman, meskipun ketika itu waktu baru sahaja melewati tengah hari.
Berbanding dengan kekacauan, kematian dan kehancuran yang disaksikan menerusi kaca televisyen dan media sosial hari ini, penulis masih ingat lagi perasaan apabila dapat menikmati ketenangan yang menyelubungi tengah-tengah bandar Tehran, yang menempatkan hampir 9.7 juta penduduk.
Ini acap kali menjadi rutin penulis setiap kali mempunyai tugasan di luar negara -- meluangkan sedikit masa untuk menikmati pemandangan dan menyelami atmosfera sebuah negara asing.
Sekali-sekali, penunggang basikal silih berganti meluncur pantas, orang ramai masing-masing dengan urusan harian sendiri, dan tiada seorang pun warga tempatan mengganggu pelancong atau orang asing.
Jauh benar bezanya dengan gambaran yang dilakar media Barat -- kekacauan adalah norma di Iran.
Naratif gelap disulam dengan amaran berulang mengenai gelora di sana, telah membangkitkan rasa gusar dalam hati penulis sebelum tiba bumi Iran, berkisar tentang mudarat dan keadaan bahaya yang dikatakan ada.
Semua itu hanya omongan kosong dan rekaan semata. Tatkala penulis menjejak tanah Parsi itu, menyaksikan sendiri situasi tempatan serta merasai keperibadian mesra rakyat Iran, seluruh ketakutan yang diada-adakan itu terus lenyap.
Tehran, selayaknya juga seperti bahagian Iran yang lain, merupakan wadah tumpuan sejarah dan budaya yang sewajarnya dirai dan dihargai, bukan dibedil; sebuah kota terkenal yang mesra, hidup dan penuh warna untuk kalangan pengembara dari seluruh pelusuk dunia.
Terfikir juga, apakah yang menggerunkan mengenai Iran?
Ketepikan kekangan bahasa, warga Iran sebaliknya mesra dan tidak lokek dengan senyuman.
Mereka juga terbuka kepada perbezaan dan sentiasa cuba memahami warga asing dan budayanya namun, di sudut lain, media Barat mengetengahkan paparan yang turut memperlekeh Iran.
Realitinya, dari perspektif penulis, keadaan jelas bercanggah dengan paparan naratif dilaporkan media, sebagaimana yang sempat diselami penulis ketika membuat liputan Pameran Potensi Eksport Iran ketujuh (Expo Iran 2025).
Tugasan yang memberi kesempatan bekerja sambil santai, ternyata menyebabkan penulis terpesona dengan keindahan semula jadi Tehran serta kemesraan penduduknya, jauh sekali berdepan sebarang insiden tidak diingini ketika berada di kaki limanya.
Ternyata yang jelas, Republik Islam Iran yang mempunyai 88.4 juta penduduk, sedang berusaha secara positif untuk membuka ekonominya kepada perdagangan dan pelaburan dari serata dunia.
Benar, ini bukan mudah dan pastinya agak mencabar berikutan keadaan perniagaannya yang tepu dan terjejas susulan sekatan ekonomi hampir sepenuhnya oleh Amerika Syarikat (AS) sejak 1979.
Expo Iran 2025 jelas menjadi bukti kesungguhan dan menampakkan kemajuan dalam usaha Iran menggerakkan perdagangan selain menarik pelaburan.
Sudah pasti, keadaan bukan mudah memandangkan sekatan Washington ke atas Iran turut merangkumi larangan syarikat berurus niaga dengan Iran, pengharaman semua import dari sumber Iran, sekatan ke atas institusi kewangannya dan pengharaman hampir sepenuhnya bagi penjualan pesawat atau komponen baik pulih untuk sektor penerbangan Iran.
Warganya Kongsi Realiti Iran
Somayeh Mardani, 42, yang menjadi penterjemah untuk penulis, turut berkongsi keadaan sebenar di Iran, warganya, kehidupan seharian serta sisi budaya.
Beliau meluahkan rasa kecewa terhadap gambaran media barat yang sering melabel Iran sebagai negara yang tidak selamat, penuh dengan ketidakstabilan politik dan konflik dalaman.
Sebaliknya, beliau berkata Iran ialah sebuah negara yang kaya dengan sejarah, budaya dan keindahan alam semula jadi.
“Daripada Takht-e Jamshid, ibu kota upacara Empayar Achaemenid purba dan Pasargadae, ibu kota bersejarah hinggalah taman-taman dan masjid yang indah di Isfahan, Iran boleh dianggap sebagai antara destinasi pelancongan terkemuka di dunia,” katanya.
Somayeh menegaskan keindahan Iran perlu dinikmati sendiri kerana negara itu bukan seperti yang sering digambarkan oleh media barat yang cenderung memberikan gambaran berat sebelah dan negatif.
“Bagi mengenali Iran secara keseluruhan, anda mesti mengunjungi Iran sendiri. Ia meninggalkan kesan mendalam kepada hati pelancong, dengan ramai yang terpesona dengan kekayaan dan kepelbagaian budayanya,” katanya.
Beliau turut berkongsi fakta sejarah yang menyenaraikan Iran antara negara tertua di dunia, wujud menjangkau puluhan ribu tahun yang lalu dan terkenal dengan sejarah kegemilangan Empayar Parsi yang meluas.
Somayeh yang juga seorang pemandu pelancong sambilan dan sedang melanjutkan pengajian Ijazah Kedoktoran dalam Pentadbiran Perniagaan di Institut Sains dan Penyelidikan di Tehran, berkata kebanyakan rakyat Iran memulakan hari mereka lebih awal, lazimnya kira-kira pada 6.30 pagi atau 7 pagi.
Waktu malam pula dipenuhi dengan aktiviti sosial dan kekeluargaan, mereka menghabiskan masa bersama ahli keluarga dan saudara, keluar minum teh atau bersiar-siar di taman.
Makan malam biasanya lebih ringan daripada makan tengah hari dan mereka lebih memilih untuk berkumpul bersama keluarga menonton televisyen dan berbual mesra.
“Hubungan mesra sesama manusia dan hospitaliti menjadi nadi kehidupan seharian -- sama ada menjamu minuman teh kepada tetamu, membantu jiran atau berkongsi cerita bersama sahabat.
“Peribadi warga Iran yang juga berteraskan ajaran Islam penuh kemesraan, keseimbangan dan amat menghargai budaya dan masyarakat,” katanya.
Iran dari Kaca Mata Orang Malaysia
Semasa di Tehran, penulis berkesempatan bertemu dengan Abdul Razak Ramli, 45, seorang ahli perniagaan Malaysia yang telah menetap di sana selama kira-kira tiga tahun.
Beliau berpandangan menetap dan menjalankan perniagaan di Tehran memberikan satu pengalaman baharu yang berharga kepada beliau
“Warganya, budaya, makanan malah juga cabaran yang dilalui di sini banyak mengajar saya mengenai betapa pentingnya mempunyai daya tahan, berani menyesuaikan diri dan menjalinkan hubungan baik dengan orang tempatan.
“Meskipun tidak sentiasa mudah, saya belajar untuk menerima keadaan yang tidak diduga (ekoran ketegangan politik yang berterusan antara Iran dan Israel), untuk menghargai walau sekecil manapun kebahagiaan yang dikecapi setiap hari dalam kehidupan.
“Tehran mungkin ada sisi-sisi ‘kasarnya’ namun itulah sebahagian daripada keistimewaannya. Setelah dua tahun menetap di sini, saya mula menyedari Tehran bukan hanya sekadar tempat untuk menjalankan perniagaan -- kota ini adalah tempat untuk mempelajari perkara baharu, menjalinkan ukhwah dan untuk benar-benar menikmati kehidupan,” katanya.
Mengimbau kembali detik pertama menjejak kaki di Tehran dari Malaysia, ketika beliau masih terbiasa dengan suasana di tanah air yang lebih santai dan teratur, ibu kota Iran itu kelihatan seolah-olah seperti satu dunia yang baharu.
“Tehran bukanlah sebuah bandar yang santai menyambut anda. Keadaan di bandar raya Tehran agak padat dan hiruk pikuk. Sebagai rakyat Malaysia saya telah terbiasa dengan cuaca tropika panas lembap di negara kita, jadi agak lama juga saya nak membiasakan diri dengan cuaca panas kering di Tehran semasa musim panas.
“Keadaan di sini agak kacau dan riuh namun Tehran ada ritma tersendiri. Kehidupan di sini sentiasa pantas tapi tidak memenatkan -- lebih seperti irama latar senandung. Saya belajar menikmatinya, terutama waktu pagi ketika bandar masih agak tenang,” katanya.
Hormati Budaya Masyarakat Tempatan
Sebagai rakyat Malaysia yang tinggal di negara berbilang bangsa dan budaya, yang terbuka dengan pelbagai gaya hidup moden, Abdul Razak mengakui pada awalnya agak sukar untuk menyesuaikan diri dengan gaya hidup lebih konservatif di Tehran.
“Di Malaysia, berpakaian kasual adalah satu perkara biasa, tetapi di Tehran, saya cepat belajar bahawa berpakaian sopan penting bagi masyarakat di sini.
“Perkara ini bukan terlalu terkekang -- cuma hanya berbeza, dan saya mula menghargai gaya orang Iran mengekspresikan diri mereka dalam batas-batas budayanya yang ada,” katanya.
Abdul Razak berkata beliau benar-benar meraikan semangat kemasyarakatan yang terjalin melalui makanan di sini.
Berkongsi hidangan makanan adalah sebahagian besar daripada budaya di Tehran, dan sama ada dengan rakan sekerja atau kenalan baharu, dan beliau mula menyedari waktu makan bukan sekadar untuk mengisi perut, malah juga membina jalinan baik persaudaraan.
“Perut saya juga semakin buncit,” katanya berseloroh.
“Satu-satunya masalah adalah saiz hidangannya besar, dan waktu makan tengah hari biasanya selepas pukul 2 petang dan makan malam pula selepas pukul 8 malam,” kata Abdul Razak.
Berniaga di Iran: Kejutan yang Menyenangkan
Sebagai seorang ahli perniagaan yang terlibat dalam banyak aktiviti, pada mulanya Abdul Razak menjangkakan pasaran di Tehran memberikan cabaran besar buatnya.
Sebaliknya, beliau menemui persekitaran perniagaan yang rancak dan dinamik.
Beliau mengakui wujud cabaran ketara terutama berikutan suasana politik dan sekatan ekonomi yang dikenakan ke atas negara itu.
Bagaimanapun, beliau berpendapat komuniti perniagaan di Tehran sangat kreatif dan berfikiran terbuka.
“Mereka yang saya temui dalam dunia perniagaan sangat mesra, bersedia bekerjasama dan paling penting, begitu berminat untuk membina hubungan jangka masa panjang.
“Perkara yang benar-benar mengejutkan saya ialah semangat keusahawanan yang begitu semarak di Tehran. Walaupun mengalami tekanan ekonomi namun, budaya syarikat pemula niaga wujud dengan kukuh di sini, dan ramai golongan profesional muda bergiat aktif dalam syarikat pemula niaga teknologi, perdagangan, malah dalam bidang seni,” katanya.
Abdul Razak berkata penduduk tempatan mempunyai idea dan kebolehan luar biasa untuk menjayakan sesuatu dengan apa-apa sahaja yang mereka ada walaupun sumbernya sedikit, dan itu sangat memberi inspirasi.
“Saya cepat sedar menjalankan perniagaan di Tehran bukan sekadar mengenai memeterai perjanjian, malah juga membina kepercayaan peribadi.
“Warga Iran sangat menghargai hubungan antara manusia, itu adalah sesuatu yang saya pelajari dan kini amat saya hargai dalam kehidupan profesional saya,” katanya.
Menatap Masa Depan: Sinar Harapan Buat Tehran
Selepas menetap selama dua tahun di Tehran, Abdul Razak mula terbiasa dengan suasana ibu kota itu dan melihatnya sebagai rumah kedua yang dekat di hati.
“Walaupun saya merindui cuaca tropika Malaysia, saya juga telah jatuh cinta dengan rentak kehidupan di sini. Bandar yang menggabungkan pesona klasik dan tenaga anak muda ini menjadikannya unik dan memikat.
“Daripada perspektif perniagaan, Tehran adalah sebuah bandar yang sarat dengan peluang, terutama untuk mereka yang sanggup memahami budaya tempatan dan membina hubungan yang bermakna,“ katanya.
Pada pandangan beliau, Tehran kini sedang mengalami perubahan, bergerak maju dan menyesuai dengan era baharu yang mengujakan dan penuh inspirasi.
“Sebagai rakyat Malaysia yang menetap di sini, saya rasa bertuah menyaksikan perubahan ini dari dekat.
“Hidup di Tehran memang mencabar, namun, memberikan pengalaman yang luar biasa dan tidak dijangka,“ katanya
Datanglah dan Saksikan Sendiri Keindahannya
Walaupun Iran sering digambarkan secara negatif dan menimbulkan rasa takut dan salah faham, Somayeh mengajak masyarakat membuka mata dan melihat sendiri kisah sebenar di sebalik tajuk berita yang berat sebelah menerusi cerita rakyat tempatan yang tinggal di Iran.
Iran adalah sebuah negara yang aman, dihuni oleh masyarakat yang berilmu, ramah dan sangat menghargai tetamu.
“Kami memiliki kekayaan budaya, landskap yang menakjubkan, nilai kekeluargaan yang kukuh serta rasa hormat yang tinggi terhadap orang lain.
“Cara terbaik untuk memahami Iran adalah dengan mengalami sendiri keindahan seni, makanan, puisi dan rakyatnya,” katanya.
Somayeh berkata pengunjung boleh mula mengenali negara itu dengan langkah kecil iaitu membaca karya sastera Parsi, mengikuti pencipta kandungan dalam talian, berhubung dengan warga Iran di platform media sosial atau berkunjung ke negara itu apabila berpeluang.
Hakikat sebenar kehidupan di Iran jauh lebih membina dan memberi inspirasi berbanding tanggapan umum.
“Kesediaan untuk berhubung dan berdialog adalah kunci untuk meruntuhkan rasa takut serta stigma. Gantikan prejudis dengan rasa ingin tahu dan pemahaman melalui hubungan manusia yang tulen,” katanya.
Meskipun Iran terpaksa mengalami krisis ketenteraan yang tidak dipinta dan tanpa belas kasihan, memori indah penulis mengenai Tehran kekal segar dan semakin mendalam.
Hati penulis luluh mengenangkan perang yang menimpa Tehran dan Iran. Ketika deruan peluru dan debu runtuhan jauh di sana, penulis hanya mampu berdoa agar kuasa-kuasa besar menemui penyelesaian membawa damai, kerana krisis ini tidak perlu berlaku.