KUALA LUMPUR: Keputusan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz yang mengumumkan peletakan jawatannya dalam UMNO dan berhasrat menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR), tidak akan menjejaskan kedudukannya sebagai Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Tengku Zafrul telah memainkan peranan dan tugasnya sebagai menteri dengan sangat baik.
“Tengku Zafrul seorang menteri yang menjalankan tugas dengan sangat baik. Pelaburan kita ratusan bilion, banyak juga dikendali dengan usaha beliau.
“Tetapi, soal kedudukan menteri itu tidak terjejas dan kita mahu beliau teruskan tugas kerana prestasi sebagai menteri baik dan negara memerlukan sumbangan beliau,” kata Anwar ketika ditemui selepas majlis penutup Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025, di sini hari ini.
Majlis berkenaan turut dihadiri Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari, Pengerusi Pengelola PBAKL 2025 Mohd Khair Ngadiron serta Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Dr Hazami Jahari.
Mengulas lanjut, Anwar yang juga Presiden PKR berkata parti setakat ini masih belum berbincang mengenai hasrat Tengku Zafrul untuk menyertai PKR, selain akan mengadakan perbincangan bersama rakan parti dalam Kerajaan MADANI mengenai perkara itu.
“Sekarang beliau (Tengku Zafrul) memilih untuk memohon (menyertai PKR). Kita belum bincang apa-apa pun ... biar beliau menunaikan fardu haji dahulu dan tak payah banyak sangat tafsiran yang kurang sihat.
“Orang ambil keputusan, kita hormat keputusan dia. Jadi, bagi pihak PKR, tentulah kita kena bincang dengan rakan-rakan (parti dalam kerajaan) dan fikir yang sebaiknya,” kata beliau.
Pada 30 Mei lepas, Tengku Zafrul mengumumkan peletakan jawatannya sebagai ahli Majlis Tertinggi, Ketua UMNO Bahagian Kota Raja serta ahli UMNO, dan pada masa sama menyatakan niat untuk menyertai PKR.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Presiden UMNO semalam mengesahkan Setiausaha Kerja UMNO Datuk Mohd Sumali Reduan telah menerima surat peletakan jawatan Tengku Zafrul.