SETIU: Rundingan sedang dilakukan dengan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bagi membawa pulang seorang pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh menerusi penerbangan ihsan susulan kemalangan bas di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Gerik 9 Jun lepas.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri Maliaman Kassim berkata ketika melawat pelajar berkenaan, Nur Erika Alisya Mohd Zaidi, 21, baru-baru ini, pihak doktor memaklumkan pelajar itu hanya boleh dibawa pulang ke Terengganu menggunakan pengangkutan udara.
“Nur Erika Alisya tidak boleh menaiki kenderaan darat disebabkan kecederaan yang dialaminya. Sehubungan itu, kita sedang berunding dengan TUDM agar usaha membawa pulang pelajar itu melalui penerbangan ihsan berhasil,” katanya kepada Bernama selepas menziarahi seorang lagi mangsa kemalangan itu, Aimi Nusaha Che Azmi, 21, di Kampung Gong Batu, Bandar Permaisuri di sini hari ini.
Maliaman berkata terdapat seorang lagi pelajar UPSI yang masih menerima rawatan di HRPB selain seorang di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan manakala selebihnya telah kembali ke kampung halaman masing-masing.
Sementara itu, beliau berkata kerajaan negeri telah menyampaikan sumbangan kepada 48 mangsa dan waris yang terlibat, iaitu RM3,000 kepada keluarga mangsa yang meninggal dunia manakala RM1,000 bagi yang cedera termasuk kepada pemandu bas, kelindan serta empat individu yang menaiki kereta Perodua Alza.
Beliau berkata kerajaan negeri juga akan membantu mangsa terlibat termasuk kos rawatan dengan jumlah tertinggi dibiayai kerajaan negeri ialah sebanyak RM18,588 bagi rawatan Nur Erika Alisya.
Pengarah HRPB Dr Saiful Azlan Sharif pada sidang media 10 Jun lepas memaklumkan Nur Erika Alisya mengalami kecederaan pada bahagian kepala selain turut patah tangan dalam nahas berkenaan yang mengorbankan 15 penuntut UPSI apabila bas yang disewa khas dari Jertih untuk pulang ke kampus utama universiti itu di Tanjung Malim terlibat kemalangan dengan sebuah Perodua Alza di JRTB.
Nahas berkenaan menyebabkan 33 lagi cedera, termasuk pemandu dan kelindan bas selain pemandu serta tiga penumpang kenderaan pelbagai guna (MPV) itu.