• 2025-06-20 10:24 PM

KANGAR: Abang dan adik perempuan kepada kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun yang dipercayai didera ibu bapa kandungnya kini berada di bawah jagaan datuk dan nenek mereka manakala mangsa pula masih dirawat di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini.

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perlis Ku Chik Ku Mat Esa berkata pihaknya akan mengambil tindakan untuk perintah jagaan sementara dan mendapatkan ahli keluarga yang layak menjaga kanak-kanak itu.

Beliau berkata namun jika tiada penjaga yang layak, kesemua mereka akan diletakkan di bawah penjagaan JKM.

“JKM Perlis telah menghantar kaunselor untuk berjumpa dengan dua lagi adik-beradik mangsa, iaitu abangnya yang berusia 12 tahun dan adik perempuannya berusia setahun yang kini di bawah jagaan nenek serta datuk sebelah bapa dan mereka dalam keadaan baik,” katanya ketika ditemui pemberita selepas perhimpunan bulanan pentadbiran Kerajaan Negeri Perlis di sini hari ini.

Ku Chik berkata kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun itu pula sedang berada di bawah pengawasan Unit Pediatrik HTF dengan doktor sedang memberikan rawatan kepada kesan kecederaannya selain turut membuat penilaian dari segi perkembangan kognitif.

Sementara itu, beliau berkata pihaknya juga akan berjumpa dengan ahli keluarga mangsa yang lain untuk membuat penilaian dari segi penerimaan ataupun trauma.

Semalam, Bernama melaporkan polis menahan sepasang suami isteri di sebuah rumah di Arau awal pagi semalam kerana disyaki mendera anak kandung perempuan mereka berusia 11 tahun sejak 2023 dan mereka direman enam hari bermula semalam untuk siasatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Arau Supt Ahmad Mohsin Md Rodi dipetik sebagai berkata penahanan suami isteri berusia 37 tahun itu dilakukan pada 1.30 pagi selepas JKM Perlis menerima aduan daripada orang awam.

Dalam laporan Bernama itu, Ahmad Mohsin turut berkata hasil pemeriksaan pegawai perubatan di HTF mendapati kanak-kanak itu mengalami kecederaan pada bahagian kepala, bibir, dada, rusuk kanan, belakang badan, lengan dan betis dipercayai akibat dipukul dengan objek tumpul serta terkena air panas.