KUALA TERENGGANU: Kerajaan Terengganu akan menyalurkan bantuan segera kepada waris pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terlibat dalam kemalangan membabitkan sebuah bas yang dinaiki dengan sebuah kenderaan lain di Jalan Raya Timur Barat, berhampiran Tasik Banding, Perak awal pagi tadi.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri Datuk Satiful Bahri Mamat berkata ia termasuk bantuan kebajikan dan khidmat kaunseling serta sokongan psikososial kepada keluarga dan rakan-rakan mangsa.
“Saya telah mengarahkan jabatan serta agensi berkaitan untuk menyelaras segala urusan dengan pihak universiti, hospital serta Kerajaan Persekutuan bagi memastikan setiap mangsa dan waris menerima bantuan sewajarnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Satiful Bahri berkata beliau mewakili Kerajaan Terengganu merakamkan ucapan takziah dan rasa dukacita kepada semua keluarga mangsa tragedi itu, yang setakat ini difahamkan mengorbankan 15 pelajar, kebanyakannya berasal dari Terengganu yang pulang ke kampus selepas bercuti sempena Hari Raya Aidiladha.
“Mereka pergi dalam keadaan yang amat mulia, kembali menuntut ilmu dalam perjalanan yang penuh niat suci. Pemergian mereka adalah satu kehilangan besar buat keluarga, masyarakat dan negeri.
“Kami menyeru seluruh rakyat Terengganu dan Malaysia untuk sama-sama menadah tangan mendoakan semoga roh mereka yang terkorban dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan para syuhada dan orang yang soleh,” katanya.
Beliau turut mendoakan semoga mangsa yang cedera diberi kesembuhan segera dan ahli keluarga yang terlibat tabah menghadapi ujian ini.
Angkatan Pertahanan Awam (APM) Hulu Perak dalam kenyataan pagi tadi memaklumkan sekurang-kurangnya 15 maut dalam kemalangan berkenaan.
Bas yang membawa pelajar UPSI itu difahamkan dalam perjalanan dari Jertih, Terengganu ke Tanjung Malim, Perak.