KUALA LUMPUR: Malaysia merupakan antara negara yang paling teruja dengan perkembangan teknologi kecerdasan buatan (AI) tetapi pada masa sama, juga antara yang paling bimbang.

Menurut laporan Ipsos AI Monitor 2025, sebanyak 77 peratus rakyat Malaysia menyatakan mereka teruja dengan perkembangan teknologi AI dan berasa positif dengan penggunaannya dalam produk dan perkhidmatan. Tahap keterujaan ini meletakkan Malaysia di kedudukan ketiga dalam tinjauan Ipsos yang melibatkan 30 negara dan 23,216 responden dewasa.

Namun begitu, 55 peratus rakyat Malaysia juga mengaku bahawa AI membuat mereka berasa bimbang, dengan peratusan responden yang menyatakan sedemikian sedikit tinggi berbanding purata global (53 peratus).

Perbezaan reaksi ini menggambarkan apa yang digelar Ipsos sebagai “Kekaguman dan Kebimbangan terhadap AI” – satu paradoks di mana optimisme dan keresahan wujud serentak dalam sentimen awam.

“Selama bertahun-tahun, dalam laporan Ipsos Global AI Monitor, kami melihat ketegangan yang sama berkaitan teknologi ini: Orang ramai teruja dengan kemajuan AI, tetapi mereka juga gusar dengan perubahan yang mungkin dibawa oleh kemajuan itu,” kata Matt Carmichael, naib presiden kanan di Ipsos.

Sentimen yang sama turut disuarakan dalam laporan lain. Laporan Indeks Trend Bekerja 2024 Microsoft dan LinkedIn mendedahkan bahawa 84 peratus pekerja berpengetahuan di Malaysia sudah pun menggunakan AI di tempat kerja, melepasi purata global sebanyak 75 peratus.

Meskipun kadar penggunaan AI tinggi, laporan itu menekankan bahawa 83 peratus pekerja di Malaysia menggunakan alat AI mereka sendiri ke tempat kerja, mencerminkan pendekatan proaktif dalam kalangan tenaga kerja di sebalik ketiadaan strategi AI yang menyeluruh daripada pihak organisasi.

Fenomena “kagum dan bimbang” di Malaysia ini mungkin berpunca daripada cita-cita negara yang agak tinggi terhadap AI, di samping kesedaran awam yang semakin meningkat terhadap risikonya.

Kerajaan Malaysia secara terbuka menerima AI sebagai sebahagian daripada agenda pembangunan negara. Pelan Haja Tuju AI Kebangsaan 2021-2025 yang dilancarkan pada 2022 menggariskan matlamat strategik untuk mengintegrasikan AI dalam sektor seperti pertanian dan perhutanan, penjagaan kesihatan, bandar pintar dan pengangkutan, pendidikan serta perkhidmatan awam.

Selain itu, AI Talent Roadmap yang dilancarkan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Tinggi, bertujuan memastikan Malaysia melahirkan graduan berkualiti tinggi dalam bidang AI secara berterusan sepanjang dekad akan datang.

Pada September 2024, MOSTI turut melancarkan Garis Panduan Tadbir Urus dan Etika Kecerdasan Buatan Negara bagi menyokong pembangunan dan penggunaan AI yang bertanggungjawab dan beretika. Menjelang akhir tahun tersebut, kerajaan juga menubuhkan secara rasmi Pejabat AI Kebangsaan yang diberi mandat untuk membantu Malaysia beralih daripada pengguna kepada pengeluar AI.

Dengan kerajaan giat memacu penggunaan AI dan melibatkan penyertaan awam, tidak hairanlah semakin ramai rakyat Malaysia menyambut baik kehadiran teknologi ini.

Laporan Ipsos menunjukkan bahawa tahap kepercayaan terhadap institusi mungkin menjadi faktor penyumbang: 73 peratus rakyat Malaysia menyatakan mereka mempercayai kerajaan untuk mengawal selia AI dengan bertanggungjawab. Peratusan ini jauh lebih tinggi berbanding negara seperti Australia (46 peratus) dan Amerika Syarikat (31 peratus).

Ketika AI semakin mengakar dalam kehidupan seharian, rakyat Malaysia kekal optimis – namun tidak leka. Reaksi mereka sesuatu yang positif, iaitu kematangan dalam menghadapi masa depan digital.