PUTRAJAYA: Thailand dan Kemboja mencapai persetujuan untuk melaksanakan gencatan senjata serta-merta selepas ketegangan memuncak di sempadan yang dipertikaikan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan keputusan itu susulan mesyuarat khas di Kompleks Seri Perdana.
Pemangku Perdana Menteri Thailand Phumtham Wechayachai dan Perdana Menteri Kemboja Hun Manet hadir dalam perbincangan yang bermula jam 3 petang.
Turut hadir ialah Duta Amerika Syarikat ke Malaysia Edgard Kagan dan Duta Besar China ke Malaysia Ouyang Yujing.
“Kedua-dua Kemboja dan Thailand mencapai persefahaman bersama iaitu gencatan senjata serta merta tanpa syarat, berkuat kuasa mulai pukul 24:00 (waktu tempatan) pada 28 Julai 2025,“ kata Anwar.
Langkah ini dianggap penting bagi meredakan ketegangan dan memulihkan keamanan di sempadan.
Sebelum ini, Anwar telah menghubungi kedua-dua pemimpin secara berasingan untuk memohon gencatan senjata dan kembali ke meja rundingan. – Bernama