JOHOR BAHRU: Keberangkatan Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar ke majlis santapan sempena perayaan Thaipusam di kuil Arulmigu Sri Balasubramaniar, Skudai di sini membukitkan amalan toleransi kaum dan budaya di negeri ini terus terpelihara.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan negeri Ling Tian Soon berkata justeru, garis panduan dikeluarkan pihak Istana dan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) khusus untuk orang Islam berhubung larangan hadir ke upacara ritual perayaan penganut agama bukan Islam, adalah jelas dan berharap tidak timbul kekeliruan serta spekulasi berkaitan sentimen agama.

“Tuanku sendiri sebagai ketua agama telah berkenan hadir majlis santapan sempena Thaipusam dan ini boleh dicontohi oleh semua orang,“ katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis santapan itu di sini hari ini.

Jumaat lepas, Sultan Ibrahim bertitah fatwa melarang umat Islam mengambil bahagian dalam ritual agama lain di negeri ini, tidak bercanggah dengan nilai toleransi, perpaduan dan persefahaman antara agama.

Sultan Ibrahim telah memperkenan fatwa tersebut yang dikeluarkan MAINJ pada Khamis lepas.

Terdahulu, dianggarkan 10,000 penganut agama Hindu, masyarakat tempatan dan pelancong asing hadir di kuil berusia 50 tahun itu sempena sambutan Thaipusam. - Bernama