KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa tiada dokumen yang menunjukkan bahawa Lim Guan Eng telah membatalkan pengecualian cukai terhadap Yayasan Albukhary semasa beliau memegang jawatan Menteri Kewangan.

Ketua Seksyen Bahagian Cukai di Kementerian Kewangan Hazlan Abdul Aziz berkata beliau tidak menemui mana-mana surat dikeluarkan oleh Lim yang menyatakan kementerian itu tidak mengiktiraf pengecualian cukai kepada yayasan kebajikan berkenaan antara 2018 hingga 2020.

Hazlan, yang telah disepina untuk memberi keterangan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata demikian semasa disoal balas peguam Guok Ngek Seong mewakili Lim pada hari ketiga perbicaraan kes saman beliau terhadap Presiden Bersatu itu berhubung pembatalan pengecualian cukai Yayasan Albukhary.

Pada Isnin lepas, Guok dalam pernyataan pembukaan berkata isu pembatalan pengecualian cukai kepada Yayasan Albukhary dibuat semasa Muhyiddin memegang jawatan sebagai Perdana Menteri.

Menurut Guok, merujuk kepada surat rayuan yang ditandatangani Pengerusi Yayasan Albukhary Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary pada 5 Feb 2021, perkataan ‘baru-baru ini’ dalam surat tersebut membawa maksud perkara pembatalan atau pembatalan status pengecualian cukai itu berlaku baru-baru ini.

“Surat daripada Syed Mokhtar tidak langsung menyatakan bahawa plaintif atau Kerajaan Pakatan Harapan sebagai orang yang bertanggungjawab dengan pembatalan tersebut,” katanya.

Berdasarkan surat rayuan Syed Mokhtar bertarikh 5 Feb 2021, sebanyak 27 syarikat korporat yang bernaung di bawah Yayasan Albukhary diberi pengecualian cukai taksiran tambahan antara April 2016 dan Mac 2018.

Surat itu menyatakan LHDN kemudian membuat keputusan untuk tidak mengiktiraf surat-surat kelulusan Kementerian Kewangan dalam tempoh berkenaan walhal cukai kredit telah digunakan oleh syarikat terbabit pada tahun-tahun sebelumnya.

Surat itu juga menyatakan cukai taksiran tambahan yang dikenakan ekoran Kementerian Kewangan menarik balik pengiktirafan surat-surat kelulusan terbabit menyebabkan yayasan berkenaan terpaksa menanggung liabiliti cukai tambahan sebanyak RM426.39 juta.

Menurut surat itu, Yayasan Albukhary mengemukakan rayuan berhubung pembatalan pengecualian cukai tersebut ke atas 27 syarikat korporat yang bernaung di bawahnya.

Pesuruhjaya Kehakiman Roz Mawar Rozain kemudian menetapkan 12 Sept ini untuk hujahan selepas dua saksi defendan termasuk Muhyiddin dan tiga saksi plaintif termasuk Lim selesai memberi keterangan.

Pada 27 Mac tahun lepas, Lim memfailkan saman terhadap Muhyiddin kerana didakwa mengeluarkan tiga kenyataan berunsur fitnah di Facebook yang melibatkannya berhubung isu pengecualian cukai pada 9, 11 dan 12 Mac 2023.

Laporan mengenai perkara itu kemudian diterbitkan oleh beberapa akhbar dan portal berita.

Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu turut mendakwa kenyataan fitnah tersebut juga bermaksud beliau menyalah guna kedudukan dan kuasanya dengan memberi kuasa atau mengarahkan LHDN mengenakan cukai serta penalti ke atas Yayasan Albukhary sedangkan ia tidak sepatutnya dikenakan cukai.