KOTA BHARU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan mengesahkan tiada kenaikan harga dikesan susulan pelarasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang berkuat kuasa 1 Julai lalu.
Pengarah KPDN Kelantan Azman Ismail berkata, sehingga kini, 195 unit penyimpanan stok (SKU) barangan keperluan asas telah diperiksa menerusi Ops Kesan 4.0.
Pemeriksaan melibatkan 39 premis di seluruh negeri dengan fokus kepada barangan pengguna seperti barangan basah dan makanan dalam tin yang dikecualikan daripada SST.
“Sejak pelaksanaan pelarasan SST pada 1 Julai lepas, kita belum menerima apa-apa aduan mengenai kenaikan harga barangan. Bahkan, pegawai yang turun padang juga setakat ini tidak merekodkan sebarang tindakan yang diambil,“ katanya dalam sidang media di Pasaraya PKT Pasir Tumboh hari ini.
Azman menegaskan KPDN akan terus memantau semua peringkat perniagaan termasuk pengilang, pengimport, pemborong, pengedar, dan peruncit bagi memastikan tiada pihak mengambil kesempatan menggunakan SST sebagai alasan menaikkan harga.
Kerajaan Persekutuan sebelum ini melaksanakan semakan dan peluasan skop SST secara bersasar bermula 1 Julai lalu. – Bernama