PUTRAJAYA: Tiada rakyat Malaysia terlibat dalam penerbangan Angara Airlines 2G2311 yang terhempas ketika menghampiri Lapangan Terbang Tynda di Wilayah Amur, Timur Jauh Rusia pada 24 Julai.
Kementerian Luar dalam kenyataan pada Jumaat memaklumkan perkara itu telah disahkan oleh Kedutaan Besar Malaysia di Moscow.
Kementerian turut merakamkan simpati dan ucapan takziah setulusnya kepada keluarga mangsa serta semua yang terkesan akibat tragedi itu.
“Malaysia bersolidariti bersama kerajaan dan rakyat Persekutuan Rusia dalam menghadapi saat dukacita ini,” menurut kenyataan itu.
Pesawat berkenaan yang dalam penerbangan dari Lapangan Terbang Ignatyevo ke Lapangan Terbang Tynda dilaporkan terhempas ketika menghampiri destinasi, mengorbankan kesemua 48 orang di dalam pesawat termasuk 42 penumpang dan enam anak kapal.
Agensi Berita Rusia (TASS) melaporkan pesawat AN-24 malang itu terbakar ketika dalam proses menurun, dan tiada mangsa yang terselamat dikesan semasa pemantauan udara dilakukan di lokasi kejadian - BERNAMA