the sun malaysia ipaper logo 150x150
Thursday, July 23, 2026
26.4 C
Kuala Lumpur
the sun malaysia ipaper logo 150x150

Tiga individu kerugian lebih RM5.4 juta terperdaya love scam, phone scam

KUALA LUMPUR: Dua wanita dan seorang lelaki berputih mata selepas masing-masing terperdaya dengan sindiket Love Scam dan Phone Scam, mengakibatkan kerugian lebih RM5.4 juta dalam tiga kes berasingan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata dalam kes di Sabah, seorang akauntan wanita berusia 67 tahun kerugian RM2.2 juta selepas diperdaya seorang lelaki mendakwa warga Amerika Syarikat yang dikenalinya di Facebook sejak Oktober 2017.

Beliau berkata wanita berkenaan menjalinkan hubungan cinta dengan lelaki berkenaan selepas sebulan berkenalan dan telah bersetuju membantu suspek mendakwa ahli perniagaan yang berhasrat berpindah ke Malaysia dengan membuat pembayaran berjumlah RM5,000 ke dalam akaun diberikan.

“Suspek kemudiannya terus meminta wang dengan pelbagai alasan seperti masalah peribadi dan urusan perniagaan,“ katanya pada sidang media di Pejabat JSJK di sini hari ini.

Menurut beliau, mangsa telah membuat 306 transaksi ke dalam 50 akaun bank berbeza dan hanya menyedari ditipu pada November lepas sebelum membuat laporan polis semalam.

“Siasatan mendapati sebahagian wang itu adalah hasil pinjaman daripada ahli keluarga dan rakan-rakan,“ katanya.

Dalam kes berasingan, Ramli berkata seorang wanita berusia 57 tahun mengalami kerugian RM2.47 juta akibat terjerat dalam love scam selepas berkenalan dengan seorang lelaki warga England di Facebook, sekitar April lepas.

“Setelah berinteraksi selama dua minggu, lelaki tersebut mendakwa ingin datang ke Malaysia bertemu mangsa. Bagaimanapun, drama bermula apabila mangsa dihubungi individu yang mengaku sebagai pihak kastam, mendakwa telah menahan lelaki itu kerana membawa masuk wang tunai sebanyak RM4.66 juta atau US$5 juta.

“Bagi membebaskannya, mangsa yang berkerja di sektor swasta itu telah diminta membuat pembayaran untuk mendapatkan sijil pengesahan daripada pelbagai agensi termasuk Bank Negara Malaysia (BNM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Kementerian Kesihatan (KKM) dan kedutaan dan telah membuat 13 kali pindahan wang ke 13 akaun bank berbeza dengan nilai keseluruhan kira-kira RM2.47 juta,“ katanya.

Ramli berkata mangsa yang menyedari telah ditipu telah membuat laporan pada 28 Nov lepas.

Sementara itu, seorang pesara kerajaan berusia 61 tahun mengalami kerugian sebanyak RM804,903 akibat terperdaya dengan taktik licik sindiket Phone Scam yang menyamar sebagai pegawai Tenaga Nasional Bhd cawangan Kuantan, Pahang mendakwa mangsa mempunyai tunggakan bil elektrik rumah di Kuantan.

Ramli berkata pesara lelaki itu yang menerima panggilan pada 15 Nov lepas, menafikan beliau memiliki rumah tersebut dan panggilannya telah disambungkan kepada dua individu mendakwa ‘Inspektor Fahmi’ dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang dan ‘Datuk Fauzi’ dari BNM.

“Mangsa diarahkan oleh Datuk Fauzi untuk melapor diri setiap hari kepadanya dan menyerahkan kad bank serta nombor pin atas alasan siasatan lanjut. Akibat tertekan, mangsa menyerahkan kad bank miliknya dengan meletakkan di atas tembok pagar rumah selain diarahkan mengeluarkan wang simpanan dan memasukkannya ke dalam akaun diberikan sindiket.

“Mangsa turut beberapa kali membuat pemindahan wang ke akaun lain yang diarahkan sindiket, kononnya bagi mengelakkan daripada direman,“ katanya.

Ramli berkata mangsa yang menyedari ditipu telah membuat laporan pada 6 Dis lepas.

Menurut Ramli, ketiga-tiga kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

STAY AHEAD OF THE CURVE

Join our community for instant updates and exclusive content.

Join Telegram Channel

Related


spot_img

Latest News

2026 Shandong Innovation-Driven Development Conference & 7th Binzhou Talent Festival Held in Binzhou

BINZHOU, CHINA - Media OutReach Newswire - 22 July 2026 - On July 18, the 2026 Shandong Innovation-Driven Development Conference & 7th Binzhou Talent Festival was held at the Yellow River Delta Trading Center in Binzhou.

Befar Group Achieves Mass Production of 6N-Grade High-Purity Hydrogen Fluoride

BINZHOU, CHINA - Media OutReach Newswire - 22 July 2026 - On July 19, Shandong's Befar Group achieved a technological breakthrough in four key areas of process, engineering, testing, and filling to bring its high-purity hydrogen fluoride (HF) for semiconductor applications to the 6N grade (99.9999%).

Shopee Launches #MyShopeeJingle Competition with S$10,000 Cash Prize and Opportunity to Create Its Next...

SINGAPORE - Media OutReach Newswire - 22 July 2026 - Shopee today launched #MyShopeeJingle, a nationwide competition inviting tertiary students across Singapore to create the next soundtrack for Shopee's iconic 12.12 campaign.

Freshening Leverages Shopee’s Integrated Solutions to Scale Consumer Brand Zappy

SINGAPORE - Media OutReach Newswire - 22 July 2026 - As more established Singapore businesses adapt to changing consumer shopping habits, Shopee is helping manufacturers strengthen direct relationships with consumers through e-commerce, enabling traditionally B2B businesses to build recognised consumer brands and drive long-term growth.

Most Viewed

spot_img
WC26

World Cup 2026

Updates, Fixtures, Results & Standings