Your Title

SEGAMAT: Kebanyakan keluarga di Kampung Seberang Batu Badak, di sini, hanya mampu melihat kediaman mereka dinaiki dan digenangi air tanpa dapat melakukan apa-apa setiap kali datangnya musim Monsun Timur Laut (MTL).

Bagi Nur Sholihah Raja Shahrin, 29, keadaan lebih memeritkan apabila pada tahun ini sahaja sudah tiga kali dia dan keluarganya dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Balai Raya Kampung Batu Badak.

Menurutnya kali pertama dia bersama suami, Aman Syafi Zainal, 28 dan anak mereka, Nia Aurora, 4, berpindah ke PPS ialah pada Januari lepas sebelum berpindah sekali lagi ketika banjir besar pada Mac.

“Memang meletihkan, belum sempat kami beli perabot dan ganti beberapa barangan yang rosak akibat banjir lepas, kini ia berlaku sekali lagi.

“Sebelum ini, banjir di kampung kami hanya berlaku sekali dalam setahun dan biasanya kami telah siap sedia, tetapi sejak kebelakangan ini banjir semakin kerap hingga tiga kali setahun,” katanya kepada Bernama hari ini.

Menurut Nur Sholihah lebih teruk apabila pada banjir yang lepas mereka sekeluarga terpaksa berlindung di PPS hingga sebulan sebelum air surut sepenuhnya dan keadaan betul-betul selamat.

Seorang lagi mangsa, Mohd Razali Mohd Hasbul, 48, berkata dia turut mengalami situasi sama setelah dipindahkan sebanyak tiga kali ke PPS pada tahun ini.

Mohd Razali, yang bekerja sebagai nelayan berkata selain keadaan rumah yang digenangi air, pendapatannya juga terjejas kerana tidak dapat bekerja kerana paras air Sungai Segamat tinggi dan berarus deras.

“Walaupun reda dengan keadaan ini, kami tetap berharap adanya tindakan yang sesuai daripada kerajaan untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi penduduk di sini.

“Hujan lebat membuatkan air naik dan kami penduduk di sekitar Kampung Seberang Batu Badak dipindahkan ke PPS semalam dan hari ini air masih belum surut,” katanya.

Sementara itu, daerah Segamat merekodkan jumlah mangsa banjir sebanyak 33 orang daripada sembilan keluarga dari Kampung Seberang Batu Batak dan Kampumg Sermin, setakat jam 12 tengah hari ini. - Bernama