BUKIT MERTAJAM: Polis menahan tiga lelaki bagi membantu siasatan pergaduhan di hadapan sebuah kuil di Alma, di sini Ahad lepas.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah ACP Tan Cheng San berkata kesemua yang berusia 21 hingga 25 tahun itu ditahan di pekarangan kuil tersebut oleh pihak polis yang tiba di situ sebaik menerima laporan berhubung kejadian.

“Laporan diterima pada 12.05 tengah malam, Ahad dan semasa kejadian terdapat orang ramai sedang menyambut upacara keagamaan di situ,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata kesemua lelaki itu direman hingga esok bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan kerana melakukan gaduh gempar.

Baru-baru ini tular menerusi media sosial, dua video berdurasi 27 dan 14 saat memaparkan sekumpulan lelaki bergaduh di hadapan sebuah kuil dan menerima kecaman netizen kerana semasa kejadian upacara keagamaan sedang berlangsung di situ. - Bernama