• 2025-07-02 02:22 PM

LAHAD DATU: Tiga lelaki maut dalam kemalangan jalan raya yang melibatkan kenderaan pacuan empat roda dan sebuah treler membawa muatan minyak sawit di Batu 16, Jalan Lahad Datu-Sandakan, malam tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Lahad Datu, Sumsoa Rashid, mengesahkan ketiga-tiga mangsa yang terkorban ialah pemandu Mohd Azizi, 28, serta dua penumpang, Mohd Rasman Ahmat Kechil, 28, dan Muhammad Zulkhairi Ismail, 29.

“Semua mangsa tersepit dalam kenderaan dan berjaya dikeluarkan oleh pasukan penyelamat, namun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan,“ kata Sumsoa.

Pemandu treler berusia 61 tahun pula mengalami kecederaan ringan dan dibawa ke Hospital Lahad Datu untuk rawatan.

Pasukan bomba menerima panggilan kecemasan melalui MERS999 pada pukul 8.52 malam dan tiba di lokasi kejadian sejauh 30 kilometer dari balai bomba dalam masa singkat. Operasi menyelamat berakhir pada 12.40 tengah malam.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Lahad Datu Supt Jimmy Panyau berkata siasatan awal mendapati kenderaan jenis pacuan empat roda itu dipercayai hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah lori tangki.

“Akibat kemalangan itu, lori dan pacuan empat roda terseret ke gaung sebelah kiri jalan (dari arah Lahad Datu ke Sandakan), pacuan empat roda itu juga melanggar sebatang pokok kelapa sawit,“ katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Jimmy berkata saksi kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Insp Mohamad Humaidi Harun di talian 089-881255 atau tampil ke balai polis di sini bagi membantu siasatan.