KUALA TERENGGANU: Tiga pegawai pihak berkuasa tempatan (PBT) di Terengganu direman enam hari bermula hari ini selepas disyaki menerima suapan berjumlah RM25,000 bagi memudahkan urusan kelulusan pelan bangunan.
Perintah reman sehingga Sabtu dikeluarkan oleh Majistret Yuhanis Mohd Roslan selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Menurut sumber, dua lelaki dan seorang wanita berusia 40 hingga 50-an itu ditahan pada 2.30 petang semalam ketika memberi keterangan di pejabat SPRM Terengganu.
“Siasatan awal mendapati ketiga-tiga suspek disyaki melakukan perbuatan tersebut dari 2015 hingga 2019.
Mereka dipercayai menerima wang rasuah dengan jumlah berbeza, keseluruhannya bernilai kira-kira RM25,000 melalui pemindahan ke akaun bank peribadi,“ kata sumber.
Wang suapan tersebut dikaitkan dengan 14 projek pembangunan.
Tangkapan ini susulan penahanan seorang pengarah agensi kerajaan pada Januari lalu yang melibatkan rasuah bernilai RM900,000.
Pengarah SPRM Terengganu, Hazrul Shazreen Abd Yazid, mengesahkan penahanan dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
Beliau tidak menolak kemungkinan lebih banyak tangkapan susulan dibuat. – Bernama