ALOR SETAR: Tiga penuntut Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Jitra maut manakala seorang cedera dalam nahas membabitkan dua motosikal dan sebuah kereta di Kilometer 49.4 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan, dekat sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Kota Setar ACP Siti Nor Salawati Saad berkata pihaknya menerima maklumat kejadian membabitkan motosikal jenis Yamaha 135LC dan Yamaha Y16ZR serta sebuah kereta jenis Naza Citra itu pada 2.10 petang.
Mangsa yang meninggal dunia ialah Muhamad Habil Mohd Sobri dari Gurun, Muhammad Fahmi Jamel dari Jeniang, Sik dan Muhamad Arif Aifan Derani dari Bukit Selambau, Sungai Petani manakala yang cedera ialah Muhammad Adib Aiman Mohd Hasani dari Subang Jaya, Selangor.
“Kemalangan dipercayai berlaku apabila penunggang motosikal Yamaha 135LC hilang kawalan sehingga melanggar bahagian belakang kereta yang sedang berhenti di laluan kecemasan. Motosikal Yamaha Y16ZR yang berada di belakang pula gagal mengelak sebelum melanggar Yamaha 135LC berkenaan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata akibat pelanggaran itu, dua penunggang dan seorang pembonceng meninggal dunia di tempat kejadian, seorang pembonceng lagi cedera manakala pemandu serta penumpang kereta tidak mengalami sebarang kecederaan.
Siti Nor Salawati berkata mayat ketiga-tiga mangsa yang berusia 19 tahun itu dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini untuk bedah siasat manakala mangsa yang cedera turut dirawat di hospital sama.
Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil di Balai Polis Trafik Kota Setar atau menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Insp Mohd Lukmanul Hakim Mohd Fauzi melalui talian 04-7321 222 atau 013-9964614 bagi membantu siasatan.
Sementara itu, rakan sekelas kesemua mangsa, Nik Muhammad Hanif Darwis Abdul Qayyum, 19, berkata kesemua rakannya yang menaiki dua motosikal itu dalam perjalanan pulang ke kampung masing-masing sempena Aidiladha, Sabtu ini.
“Kami bangun 7 pagi tadi dan bersiap untuk ke kelas pada 8.30 pagi. Kelas ditamatkan awal hari ini pada 12.30 tengah hari supaya penuntut semua boleh pulang awal ke kampung masing-masing.
“Kesemua mereka bergerak pada 1.30 tengah hari dan saya sempat bersalam serta berpesan kepada Muhamad Arif Aifan supaya tunggang motosikal dengan berhati-hati. Arwah hanya senyum tanpa berkata apa-apa,“ katanya kepada pemberita ketika ditemui di Jabatan Forensik HSB hari ini.
Nik Muhammad Hanif Darwis berkata dia mengetahui mengenai kemalangan itu menerusi maklumat disampaikan rakan-rakan menerusi aplikasi WhatsApp.
“Saya sedang tidur tetapi kira-kira 2 petang, telefon saya tidak berhenti berdering. Jadi saya bangun dan terkejut apabila rakan-rakan memaklumkan mereka maut dan cedera dalam kemalangan itu.
“Saya terus menangis kerana kami semua memang rapat. Selain sekelas, saya juga suka tidur di bilik mereka jadi memang terasa kehilangan mereka,“ katanya.
Nik Muhammad Hanif Darwis berkata dia dan beberapa rakan tidak sempat menghadiri majlis pengebumian kesemua arwah kerana akan pulang ke kampung masing-masing malam ini dengan menaiki bas.