KEPALA BATAS: Tiga warga tempatan termasuk sepasang suami isteri mengambil kesempatan semasa perintah kawalan pergerakan (PKP) menyemai dan membiakkan pokok ganja sebagai sumber pendapatan.
Hasil siasatan mendapati mereka mula aktif mengusahakan penanaman pokok yang disyaki pokok ganja sejak Februari tahun ini.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara ACP Noorzainy Mohd Noor berkata, ketiga-tiga suspek yang berusia 21 tahun (si isteri), 26 (si suami) dan 28 (seorang lelaki yang dipercayai sebagai rakan mereka) ditahan di dalam serbuan pada Khamis lalu, setelah dikesan oleh pihak polis.
Katanya, polis berjaya merampas empat pokok disyaki pokok ganja setinggi 30, 35, 58 dan 70 sentimeter yang kesemuanya bernilai kira-kira RM800, berdasarkan harga pasaran semasa.
"Hasil pemeriksaan mendapati ketiga-tiga suspek telah melakukan aktiviti menanam pokok-pokok tersebut itu sejak Februari lalu dan semakin aktif ketika tempoh PKP," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara di sini hari ini.

Kata Noorzainy, suspek-suspek tersebut juga mengakui mempelajari cara menanam pokok ganja melalui laman YouTube, dengan niat menjual pokok ganja dengan harga RM200 kepada pasaran tempatan, namun mereka berjaya dicekup sebelum sempat berbuat demikian.
Serbuan pertama pada jam 9.40 malam di Pangsapuri Aked berjaya merampas satu pokok bersama suspek wanita tersebut, manakala suaminya diberkas di tepi Jalan Pantai pada jam 10.10 malam.
Serbuan ketiga dilakukan di Pangsapuri Sri Bagan pada jam 11 malam, melibatkan rakan mereka dan tiga pokok yang disyaki pokok ganja.
Ketiga-tiga serbuan dilakukan di Butterworth.
Noorzainy berkata, ketiga-tiga suspek direman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah bagi siasatan lanjut di bawah Seksyen 6B Akta Dadah Berbahaya 1952 sehingga 25 Jun.
