SEREMBAN: Polis menahan tiga remaja lelaki kerana melakukan aksi berbahaya ‘Superman’ semasa menunggang motosikal menerusi Ops Samseng Jalanan di sekitar Port Dickson hari ini.

Ketua Polis Daerah Port Dickson Supt Maslan Udin berkata kesemua mereka merupakan pelajar sekolah berusia antara 13 hingga 15 tahun.

“Mereka dikesan melakukan aksi berbahaya ala ‘Superman’ dengan meniarap di atas motosikal di jalan raya, iaitu aksi berkenaan membahayakan keselamatan mereka dan pengguna jalan raya lain,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata polis turut merampas motosikal jenis Honda EX5 dan Yamaha 135 LC manakala kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan Raya 1987.