KOTA BHARU: Polis mengesahkan hanya dua daripada enam kamera litar tertutup (CCTV) berfungsi di lokasi kejadian seorang wanita diserang menggunakan asid di Bachok pada Sabtu lepas.

Ketua Polis Daerah Bachok Supt Mohamad Ismail Jamaluddin berkata menerusi rakaman tersebut, terdapat pergerakan tiga individu dikenal pasti iaitu dua wanita dan seorang lelaki.

“Berdasarkan rakaman ini, kita dapati ketiga-tiga individu dilihat tergesa-gesa melarikan diri dipercayai selepas melakukan serangan.

“Kita juga akan menjalankan siasatan lanjut termasuk memanggil saksi lain sekiranya ada. Setakat ini, polis telah mengambil keterangan daripada lima saksi berkaitan kejadian ini,” katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata polis turut menjalankan siasatan di sembilan kedai perkakasan sekitar Bachok namun tiada satu pun yang didapati menjual asid berkepekatan tinggi seperti digunakan dalam kejadian itu dan dipercayai diperoleh dari luar daerah tersebut.

Dalam perkembangan sama, Mohamad Ismail berkata polis turut menjalankan siasatan berhubung dakwaan mangsa bahawa pernah berlaku ugutan dengan tindakan mencurahkan asid di hadapan premis niaganya sebelum ini.

“Polis telah mengambil semula keterangan mangsa dan mendapati tiada sebarang laporan dibuat berkaitan dakwaan tersebut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah menggunakan bahan berbahaya, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta boleh dikenakan denda atau sebatan jika sabit kesalahan,” katanya.

Pada Sabtu lepas, seorang peniaga wanita disimbah cecair dipercayai asid oleh individu tidak dikenali dalam kejadian berhampiran sebuah kedai serbaneka di Beris Kubur Besar, Tawang, di Bachok.

Akibat serangan itu, mangsa melecur teruk pada bahu, belakang, lengan dan kaki, bagaimanapun dia kini dilaporkan dalam keadaan stabil dan sedang menerima rawatan di Wad Unit Rawatan Kebakaran, Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian.