SEREMBAN: Tiga wanita yang ditahan menerusi Op Global di Nilai dan Seremban kerana disyaki terbabit dalam kes eksploitasi kanak-kanak di negeri ini, disambung reman hingga 22 Sept.

Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata seorang lagi wanita yang ditahan di Nilai dibebaskan dengan jaminan polis selepas reman tamat hari ini.

“Hari ini polis telah membuat permohonan untuk menyambung reman seorang (yang ditahan di Nilai) di Mahkamah Sesyen Seremban bagi meneruskan siasatan berhubung kes tersebut. Seorang lagi wanita tidak direman dan diberi jaminan kerana mengandung,“ katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Sementara itu, beliau berkata dua wanita yang ditahan di Seremban turut disambung reman hingga 22 Sept ini selepas tempoh reman mereka berakhir 14 Sept lepas.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain sebelum ini dilaporkan berkata polis menyelamatkan 402 kanak-kanak berusia antara setahun hingga 17 tahun dipercayai dieksploitasi membabitkan negeri ini dan Selangor.

Seramai 171 individu ditahan, termasuk 105 wanita berusia 17 dan 64 tahun.