BUTTERWORTH: Gabungan air pasang besar berserta hujan lebat dan ribut menyebabkan fenomena ombak besar yang menghempas kawasan tepi laut Pulau Pinang terutama di sekitar Pantai Bersih di sini.

Berikutan kejadian yang berlaku pada tengah hari tadi itu, pihak Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (LLB) memberi amaran kepada orang ramai agar tidak menghampiri kawasan pantai di situ kerana cuaca yang sangat tidak baik dan keadaan ombak yang tinggi.

“Kepada pengunjung hentian Rehat dan Rawat (R&R) Bagan Ajam diminta tidak menghampiri kawasan pantai kerana cuaca yang sangat tidak baik dan keadaan ombak yang tinggi, naik hingga di belakang (kawasan) R&R. (Keadaan ini) tidak selamat untuk pengunjung,“ menurut hantaran di Facebooknya hari ini.

Terdahulu menerusi beberapa klip video yang tular di media sosial, kelihatan peniaga di kawasan Pantai Bersih merakamkan kejadian ombak besar hingga air laut memasuki kedai dan gerai di pantai tersebut serta di R&R Bagan Ajam.

Kejadian itu menyebabkan lantai sebuah restoran runtuh dan arus deras kelihatan menghempas kedai lain di situ namun tiada sesiapa yang cedera dalam kejadian ombak besar itu.

Selain Pantai Bersih dan R&R Bagan Ajam yang popular dalam kalangan penduduk untuk bersantai pada waktu malam, beberapa lokasi seperti Padang Kota ataudikenali sebagai Esplanade turut terjejas apabila air laut melimpah masuk hingga ke medan selera Medan Renong.

Menerusi video tular kelihatan pelanggan bertempiaran lari untuk menyelamatkan diri dan barang mereka daripada basah manakala peniaga bergegas menyelamatkan barangan mereka.

Kejadian berlaku kurang daripada setengah jam namun telah menyebabkan kawasan yang sering menjadi tumpuan orang ramai termasuk pelancong itu menjadi kucar-kacir dan banyak yang perlu dibersihkan.

Kawasan Medan Renong kembali bersih selepas petugas Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) menjalankan kerja-kerja pembersihan yang selesai pada 3.45 petang.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa Pulau Pinang H’ng Mooi Lye berkata bagi menjamin keselamatan orang awam, pasukan unit khas MBPP dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) beroperasi 24 jam supaya dapat mengambil tindakan segera terhadap aduan yang diterima.

Beliau berkata orang ramai boleh menghubungi talian hotline MBPP 04-2637637 atau 04-2637000 atau aduan WhatsApp 016-2004082 dan talian aduan kecemasan MBSP di 1-800-88-6777 sekiranya mendapati pokok tumbang yang berbahaya.

H’ng berkata pada masa sama, Bilik Gerakan Bencana di setiap daerah juga dibuka dan bersedia memberi bantuan kepada penduduk setempat.

“Bilik Gerakan Daerah Timur Laut di talian 04-228 3781, Barat Daya 04- 866 4695, Seberang Perai Utara 04-577 6521, Seberang Perai Tengah 04- 530 7049, Seberang Perai Selatan 04- 582 8036,“ katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya berwaspada dalam tempoh ini dan sentiasa menjaga keselamatan bagi mengelak daripada sebarang kejadian yang tidak diingini.