KANGAR: Tiga lelaki warga China ditahan selepas disyaki terlibat dalam kes pecah rumah di Taman Bukit Kubu Fasa 2, Kuala Perlis semalam. Kejadian itu mengakibatkan kerugian dianggarkan RM4,000.
Ketua Polis Daerah Kangar ACP Yusharifuddin Mohd Yusop berkata, laporan diterima pada jam 11.38 malam daripada seorang lelaki yang mendapati rumah bapa saudaranya dipecah masuk. “Hasil siasatan awal mendapati rumah itu menunjukkan kesan umpil dan pecah di bahagian pintu belakang. Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan tiga suspek memasuki rumah dan mengambil beberapa barangan berharga,“ katanya.
Antara barangan yang dilaporkan hilang ialah barang kemas dan wang tunai. “Bertindak atas maklumat, pegawai tangkapan bersama anggota Task Force Balai Polis Kuala Perlis dan pasukan MPV IPD Kangar Zon Kuala Perlis telah pergi ke lokasi dan menahan ketiga-tiga lelaki terbabit,“ jelas Yusharifuddin.
Hasil siasatan mendapati suspek terdiri daripada warga China berusia antara 38 hingga 54 tahun dan berada di Malaysia kurang seminggu atas urusan mencari pekerjaan. “Mereka dikatakan ditawarkan kerja sebagai tukang masak, namun belum sempat berurusan dengan mana-mana majikan,“ tambahnya.
Ketiga-tiga suspek memiliki dokumen perjalanan sah dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan. Mereka ditahan reman selama enam hari bermula hari ini. - Bernama