PUTRAJAYA: Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing mengadakan lawatan kerja ke Oman, Kuwait, Bahrain dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dari 10 hingga 19 Ogos bertujuan untuk memupuk kerjasama lebih kukuh antara Industri pelancongan Malaysia dan negara-negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC).

Dalam satu kenyataan hari ini, Tourism Malaysia berkata inisiatif ini dijangka akan meningkatkan aliran pelancong dan mengukuhkan lagi hubungan erat yang telah lama terjalin antara Malaysia dan empat negara ini di samping mengukuhkan hubungan peribadi antara pemimpin.

Semasa lawatan sepuluh hari itu, Tiong akan berbincang dengan menteri, syarikat penerbangan, ejen pelancongan terkemuka, dan pemimpin perniagaan berkaitan di Muscat, Kuwait City, Manama, Abu Dhabi dan Dubai.

Topik utama dalam agenda itu termasuk meneroka usaha kolaboratif untuk mempromosikan Tahun Melawat Malaysia 2026, program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) dan peluang-peluang lain untuk promosi bersama bagi menarik pelancong dari negara GCC, katanya.

Sesi ini akan memberikan input berharga tentang pelan dan inisiatif strategik pelancongan Malaysia, menekankan strategi berimpak tinggi dan penukaran pantas selain daripada peluang perdagangan dan pelaburan, kata kenyataan itu.

Pasaran GCC mempunyai kepentingan signifikan untuk pelancongan Malaysia, secara konsisten berada di antara lima teratas per kapita bagi perbelanjaan pelancong antarabangsa dengan purata tempoh penginapan yang lebih panjang.

Pada 2023, Malaysia mengalu-alukan 40,384 pelancong dari Oman, Kuwait, Bahrain dan UAE yang menjana RM428.84 juta dalam perbelanjaan pelancongan.

Walaupun angka ini menampakkan pertumbuhan positif, mencapai tahap pra-pandemik adalah penting.

Tahun ini, Malaysia menjangkakan lebih 55,000 ketibaan pelancong dari pasaran ini, menyumbang kepada sasaran keseluruhan 27.3 juta ketibaan antarabangsa dan RM102.7 bilion dalam perbelanjaan pelancongan.