KUALA LUMPUR: TNG Digital Sdn Bhd kini memperluaskan sokongan untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan kalangan peniaga bebas yang beroperasi di pasar, gerai serta ruang awam menerusi mekanisme pembayaran digital mudah diakses dan dimanfaatkan.
Syarikat itu menerusi kemudahan e-dompet TNG, menyediakan kod QR statik dan sistem Papan Pemuka Peniaga secara percuma yang membolehkan peniaga menerima bayaran tanpa tunai selain memantau transaksi masa nyata.
E-dompet TNG itu turut disepadukan dengan DuitNow QR melalui kerjasama dengan Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) yang membolehkan peniaga menerima pembayaran daripada mana-mana bank tempatan atau kemudahan e-dompet itu di seluruh negara.
Dalam satu kenyataan hari ini, Ketua Pegawai Operasi TNG Digital Mohd Herman Sarbini berkata syarikat itu menyasarkan untuk menyokong pelbagai jenis perniagaan daripada pembuat kek di rumah sehinggalah pengasas syarikat pemula.
“Penyelesaian yang kami sediakan ini direka khusus bagi membantu peniaga kecil ini berkembang dengan menawarkan mereka kemudahan mekanisme untuk mengurus transaksii, jejak prestasi serta memahami tingkah laku pengguna,” katanya.
Bagi meningkatkan aspek keselamatan, TNG Digital turut memperkenalkan “Merchant Soundbox” yang memberi pengesahan audio dalam masa nyata bagi traksaksi yang berjaya, sekali gus mengelak insiden skrin paparan pembayaran palsu.
“Kemudahan yang disambung terus ke akaun peniaga itu memberi keyakinan ketara untuk pengguna, terutama ketika beroperasi pada waktu sibuk,” katanya.
Soundbox itu turut ditawarkan pada harga promosi untuk membolehkannya mampu dimiliki peniaga kecil, terutama yang beroperasi sendirian ketika waktu puncak.
Selain itu, bagi peniaga yang kurang mahir dengan penggunaan alat digital, syarikat menyediakan sesi taklimat secara bersemuka, demonstrasi langsung dan antara muka pengguna yang ringkas.
“Usaha jangkauan dijalankan secara berkala dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di bawah Inisiatif Pendigitalan Runcit selain sokongan PayNet dan kerajaan negeri,” kata syarikat itu.
Menurut TNG Digital, ketika bazar Ramadan, syarikat telah bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan untuk membantu usahawan luar bandar beralih kepada kemudahan tanpa tunai.
“TNG Digital juga memperoleh kelulusan Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) iaitu agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia untuk menyediakan perkhidmatan alternatif pembayaran gaji kepada pekerja yang tiada akaun bank.
“Kelulusan ini memberi manfaat kepada pekerja buruh dan migran yang kebanyakannya bekerja dengan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS),” katanya.
Mohd Herman berkata kelulusan itu membolehkan majikan membayar gaji secara terus ke dalam akaun e-dompet TNG, malah hampir 70 peratus daripada peniaga syarikat itu dikategorikan sebagai PMKS.
“Ini mengelak risiko yang dikaitkan dengan kendalian tunai dan memastikan pekerja mempunyai akses segera ke atas pendapatan mereka,” katanya.
TNG Digital berkata setiap akaun e-dompet TNG diberi nombor akaun DuitNow yang berfungsi seperti akaun bank tradisional dan membolehkan kiriman dan menerima wang daripada mana-mana bank di Malaysia serta membantu merapatkan jurang antara golongan yang tidak mempunyai akaun bank dan ekosistem kewangan yang formal.
Syarikat berkenaan turut mengetengahkan inisiatif-inisiatif itu di acara Expo 2025 Osaka yang menyaksikannya mengetengahkan Papan Pemuka Peniaga, Soundbox dan ciri pulangan tunai direka khusus untuk menyokong perniagaan kecil dalam aspek pengurusan transaksi serta libat urus dengan pelanggan.