KUALA LUMPUR: Awal pagi ini, negara dikejutkan dengan kemalangan tragis di Jalan Raya Timur-Barat berhampiran Tasik Banding di Gerik membabitkan sebuah bas dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) yang mengorbankan 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Nahas yang dianggarkan berlaku antara 12.30 tengah malam hingga 1 pagi itu turut mengakibatkan 27 lagi pelajar, pemandu bas dan pembantunya serta tiga penumpang Alza cedera.

Siasatan awal mendapati insiden dipercayai berlaku selepas bas yang dipandu oleh pemandu gantian daripada sebuah syarikat lain itu terlanggar MPV berkenaan sebelum terbalik selain dipercayai dipandu laju berdasarkan maklumat daripada mangsa.

Tragedi tersebut adalah yang terburuk dalam tempoh lebih sedekad selepas nahas membabitkan bas ekspres di Genting Highlands pada 21 Ogos 2013 apabila kenderaan yang membawa 53 penumpang itu terbabas sebelum terjunam ke dalam gaung sedalam 60 meter di Kilometer 3.5 Jalan Genting.

Insiden itu meragut 37 nyawa dan mencederakan 16 yang lain, menjadikan ia kemalangan bas paling dahsyat dalam sejarah negara.

Tragedi hari ini juga menyingkap kembali beberapa insiden berdarah dan menyayat hati membabitkan bas yang meragut banyak nyawa.

Kira-kira 15 tahun lepas iaitu pada 20 Dis 2010, berlaku insiden menyayat hati di Kilometer (KM) 15, Jalan Cameron Highlands-Simpang Pulai membabitkan sebuah bas persiaran yang membawa pelancong dari Thailand.

Bas itu dipercayai hilang kawalan dan melanggar pembahagi jalan sebelum terbabas ke laluan bertentangan serta terbalik di longkang yang menyebabkan 27 maut manakala beberapa lagi cedera parah.

Pada 13 Ogos 2007, seramai 20 penumpang maut manakala sembilan lagi cedera parah apabila bas ekspres yang mereka naiki terbabas sebelum terbalik di KM229, Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dekat Bukit Gantang, Perak.

Pemandunya dikatakan hilang kawalan, menyebabkan bas itu tergelincir sebelum terbalik dekat sebuah kampung di situ.

Berikut adalah kronologi beberapa nahas lain membabitkan bas yang berlaku dengan jumlah korban tertinggi di Malaysia sejak 2003.

23 Nov 2003 --14 maut, 30 cedera apabila dua bas bertembung di KM68, Jalan Lipis-Merapoh (Laluan Persekutuan 8 LP 8) berdekatan sempadan Pahang-Kelantan.

13 April 2009 -- Enam terbunuh apabila sebuah bas ekspres dua tingkat terbabas dan melanggar pembahagi jalan sebelum terbalik di KM443 di Lebuhraya PLUS dekat Rawang, Selangor.

26 Dis 2009 -- 10 penumpang maut, dua lagi cedera termasuk seorang parah apabila sebuah bas dua tingkat terbabas dan melanggar pembahagi jalan di KM272.8 Lebuhraya PLUS arah utara berhampiran Plaza Tol Ipoh Selatan di Perak.

10 Okt 2010 -- 12 maut, lebih 40 cedera dalam nahas membabitkan dua bas, sebuah van dan tiga kereta di KM223 Lebuhraya PLUS berhampiran Plaza Tol Simpang Ampat di Alor Gajah, Melaka.

29 Okt 2010 -- Enam maut, 21 cedera selepas sebuah bas pelancongan terbabas sebelum terbalik di KM3.8 Genting Sempah ketika menuruni Genting Highlands.

24 Dis 2016 -- 14 maut manakala 16 lagi cedera apabila sebuah bas ekspres terjunam ke dalam cerun sedalam 10 meter di KM137.3, Lebuhraya PLUS arah utara berdekatan kawasan Rehat dan Rawat Pagoh, Johor.