ALOR SETAR: Kehilangan insan tersayang secara tiba-tiba sememangnya ujian berat, dan bagi Ramsuriani Ramli, tragedi di Sungai Korok, Jitra yang meragut nyawa enam sekeluarga semalam mengimbau kembali kisah dukanya.
Ramsuriani, 43, berkata beliau tidak dapat melupakan insiden abangnya, Ramsunardi, 42, yang ditemukan maut selepas kereta dipandunya terjunam ke sungai di Kampung Alor Biak, Jalan Sungai Korok, dekat Jitra pada 2016.
“Bagi saya bukan salah pemandu semata-mata. Jalan itu memang tak berapa elok dan tiada ciri-ciri keselamatan yang mampu memberi keyakinan kepada pengguna,“ katanya kepada Bernama hari ini.
Kereta abangnya terbabas ke dalam sungai semasa memandu seorang diri.
“Saya hilang satu-satunya abang yang menjadi tonggak kekuatan keluarga selepas ayah meninggal dunia,“ ujarnya.
Wanita yang berasal dari Tambun Tulang, Perlis itu berkata sudah tiba masanya pihak berkaitan mengambil langkah sewajarnya bagi mengelakkan tragedi pilu seperti itu berulang.
Keperluan Ciri Keselamatan
“Sepatutnya kena sediakan lampu jalan mencukupi dan buat penghadang jalan yang kukuh di sepanjang tebing sungai bagi mengelakkan risiko lemas bila berlaku kemalangan,“ katanya.
Semalam, Mohamad Azim Izat Ishak, 32, dan isteri Nurul Hidayah Khadijah Razman Efendi, 31, serta empat anak mereka ditemukan maut dalam kereta di Sungai Korok.
Seorang penjawat awam, Muhamad Sofi Shamsudin, 34, dari Ayer Hitam, Jerlun, berkata laluan di Sungai Korok agak sempit serta mempunyai banyak lubang dan beralun.
“Sebagai pengguna utama, saya berharap sangat kerajaan dapat membaiki serta meningkatkan tahap keselamatan kerana jalan itu juga banyak digunakan kenderaan berat seperti lori dan treler,“ katanya.
Jalan Utama Penduduk Setempat
Muhamad Sofi berkata jalan tersebut penting bagi penduduk setempat kerana merupakan laluan utama ke Jitra dan Alor Setar.
“Memang sudah banyak kemalangan berlaku sebelum ini. Ayah kawan saya pernah kemalangan disebabkan jalan tar berlubang sehingga dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU),“ katanya.
Osman Saad, 44, dari Ayer Hitam turut menyuarakan kebimbangan dan berharap kerajaan bertindak segera memasang besi penghadang di tebing sungai serta menyediakan lampu jalan.
“Jalan itu panjang, jadi kena ada ciri keselamatan agar kami berasa lebih selamat. Selepas kes enam beranak itu, hati saya berdebar-debar dan berasa seram apabila melalui jalan tersebut,“ katanya. – Bernama