SKUAD memanah compound wanita negara mempamerkan aksi cemerlang untuk meraih pingat emas pertama mereka di Kejohanan Piala Asia 2025 di Bukit Gombak, Singapura hari ini.
Lebih manis, kemenangan ini diraih ketika skuad negara diletakkan sebagai pilihan ketiga kejohanan, menewaskan gergasi Asia, India yang disebut sebagai calon utama untuk meraih emas.
Pasukan negara dibarisi Fatin Nurfatehah Mat Salleh, Saritha Cham Nong dan Ng Sui Kim mengejutkan pilihan pertama kejohanan itu menerusi penentuan shoot-off selepas terikat 232-232 dalam empat pusingan.
Pada pusingan penentuan, ketiga-tiga pemanah negara menunjukkan ketenangan dan mengekalkan momentum untuk mengumpul 29 mata, berbanding 26 mata yang diperoleh Shanmukhi Naga Sai, Tejal Salve dan Tanishka Nilkumar.
Pingat gangsa dimenangi trio Kazakhstan yang menewaskan Bangladesh 234-230.
Sementara itu, hasrat Fatin Nurfatehah untuk menambah koleksi pingat tidak kesampaian apabila tewas dalam aksi penentuan ketiga dan keempat compound individu.
Fatin Nurfatehah tewas 8-10 dalam aksi penentuan shoot-off selepas kedua-dua pemanah terikat 146-146. Pingat emas dan perak dimenangi wakil India, Tejal yang menewaskan Shanmukhi 146-144.