• 2025-08-04 09:13 PM

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump, pada Ahad berkata dua kapal selam nuklear tiba di lokasi yang ditetapkan, hanya dua hari selepas beliau mengarahkan penempatannya, lapor agensi berita Xinhua.

“Saya keluarkan kenyataan dan jawapannya ialah, kedua-dua kapal kini berada di rantau ... di mana mereka sepatutnya berada,” kata Trump.

Trump sebelum ini, pada Jumaat, melalui platform media sosialnya – Truth Social, menyatakan yang beliau mengarahkan dua kapal selam nuklear ke “rantau yang sesuai” selepas perselisihan pendapat dengan Dmitry Medvedev, bekas Presiden Rusia yang kini adalah Timbalan Pengerusi Majlis Keselamatan Rusia.

Pada 28 Julai, Trump memendekkan tempoh akhir yang diberikan kepada Moscow untuk menamatkan konflik dengan Ukraine – daripada 50 hari kepada hanya “10 atau 12 hari,” kerana kecewa dengan apa yang beliau dakwa sebagai “keengganan Moscow untuk berkompromi.”

Kemudian pada hari yang sama, Medvedev menyifatkan kenyataan Trump sebagai satu tindakan “bermain permainan ultimatum dengan Rusia,” dan menganggap ancaman itu sebagai “langkah ke arah peperangan... dengan negaranya sendiri.”-BERNAMA-XINHUA