GEORGE TOWN: Seorang tukang gunting rambut mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memperdayakan seorang wanita dalam mendapatkan pekerjaan membabitkan kerugian lebih RM300,000, tahun lepas.

Tan Chun Hooi, 37, didakwa memperdaya seorang wanita berumur 38 tahun untuk mempercayai dia berupaya mendapatkan pekerjaan sebagai pramugari Singapore Airlines di Singapura sehingga mendorong mangsa memasukkan wang RM358,015 ke dalam akaun bank milik tertuduh.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Ayer Hitam antara 3 Julai pukul 10.15 malam hingga 15 Dis 2023 pukul 6.39 petang.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan maksimum 10 tahun dengan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nurul Atikah Ashraf Ali mencadangkan jaminan RM15,000 terhadap tertuduh dengan seorang penjamin, manakala peguam tertuduh Yiew De Xien memohon jaminan yang rendah dengan alasan tertuduh perlu menanggung neneknya.

Mahkamah kemudiannya menawarkan wang jaminan berjumlah RM5,000 dengan seorang penjamin kepada tertuduh dan menetapkan 12 Sept untuk sebutan kes.