• 2025-07-25 08:11 PM

MELAKA: Penduduk lebih 600 kampung yang disenaraikan dalam inisiatif Kampung Digital kini boleh menukar alamat di kad pengenalan secara percuma. Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, ini hasil persetujuan Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi memudahkan proses penukaran alamat.

“Tahun depan, bila kita ubah enakmen, semua urusan jabatan kerajaan perlu ikut alamat terkini yang telah didigitalkan. Jadi, selepas ini sudah tidak boleh pakai alamat lama ikut perbatuan,“ katanya.

Beliau menegaskan, 50 peratus kos penukaran alamat ditanggung kerajaan negeri, manakala baki 50 peratus lagi ditaja KDN. Penduduk hanya perlu membawa surat pengesahan Kampung Digital untuk memohon.

Tawaran ini terbuka kepada semua penduduk termasuk kanak-kanak dan sah sehingga hujung tahun 2025. Selepas tempoh tersebut, mereka yang gagal berbuat demikian akan dikenakan bayaran penuh.

Kampung Digital merupakan projek rintis kerajaan negeri bagi memudahkan pengesanan alamat dan meningkatkan keberkesanan perkhidmatan kepada rakyat. - Bernama