• 2025-09-01 10:36 AM

PEKAN: Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah akan memberi peluang pekerjaan kepada prospek mahir dalam seni Tenun Pahang Diraja, melalui Perkampungan Ihsan Al-Sultan Abdullah.

Tunku Azizah bertitah sebanyak 17 prospek daripada Penjara Penor dan Bentong yang menyertai Pertandingan Tenun Pahang Diraja Piala Tunku Azizah, telah memberi inspirasi untuk baginda menghidupkan semula seni warisan berkenaan, sekali gus memberi peluang kedua kepada mereka selepas dibebaskan.

“Saya tidak boleh bergerak tanpa penjara (Jabatan Penjara Malaysia) yang banyak menolong saya. Mereka yang memberikan saya inspirasi untuk menghidupkan semula seni Tenun Pahang Diraja. Tanpa mereka saya tidak akan berad di sini.

“Oleh kerana mereka (prospek) telah memberi saya inspirasi dan saya ingin memberi harapan balik kepada mereka, supaya mereka dapat menyambung seni (Tenun Pahang Diraja) ini, apabila mereka keluar daripada penjara,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika berucap selepas penyampaian hadiah Pertandingan Tenun Pahang Diraja dan perasmian Temasya Warisan Pahang yang disempurnakan Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Muzium Maritim Pulau Beram, di sini semalam.

Turut berangkat Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam dan isteri Toh Puan Dr Asmah Abdul Rahman.

Tunku Azizah bertitah kejayaan prospek memenangi pertandingan tersebut, membuktikan hasil tenun dari Penjara Penor dan Bentong merupakan antara yang terbaik dalam negara, dengan rekaan cantik serta berkualiti tinggi.

Pertandingan Piala Tunku Azizah merupakan platform berprestij yang dinamakan sempena Tengku Ampuan Pahang sendiri, dengan objektif mencungkil bakat penenun kreatif serta memberi pengiktirafan kepada artisan Tenun Pahang Diraja yang berkualiti tinggi, selain mengangkat warisan itu ke peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Pada majlis sama, Al-Sultan Abdullah turut melancarkan Yayasan Warisan Tunku Azizah, yang merupakan sebuah organisasi yang dinaungi oleh Yayasan Tenun Pahang Diraja.

Sementara itu, baginda berdua turut berkenan untuk melihat pameran “Lukisan Jiwa” yang menampilkan karya seni lukis oleh penyanyi tersohor Datuk M. Nasir, diikuti konsert khas beliau di muzium berkenaan.

Antara lukisan hasil karya M. Nasir yang dipamerkan termasuklah “Hud-hud dan Pohon Tin”, “Penari dan Pohon Tin”, dan “Darwis Malam’, selain karya terbaru beliau “Menjaring Bayangan Bintang” dan “Nasib Kapal Kertas”- BERNAMA