JOHOR BAHRU: Orang ramai dinasihatkan agar lebih berwaspada dengan kehadiran ubur-ubur di kawasan perairan Mersing.
Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Johor Rosmawati Ghazali mengesahkan beberapa laporan mengenai penemuan hidupan laut tersebut.
“Semua pengunjung dinasihatkan berhati-hati ketika melakukan aktiviti riadah pantai, snorkeling dan selam skuba,“ katanya.
Beliau menyarankan pemakaian pakaian bertutup atau bersesuaian untuk mengelakkan sengatan ubur-ubur.
Kenyataan rasmi itu disiarkan di laman Facebook Jabatan Perikanan Johor.
Rosmawati turut memaklumkan talian kecemasan 07-799 1161 untuk dihubungi jika diperlukan.
Orang ramai juga boleh menghubungi Pegawai Perikanan Muhammad Irfan Ahmad Hanizar di nombor 013-5268796.
Mereka yang memerlukan bantuan boleh hadir terus ke Pejabat Taman Laut untuk maklumat lanjut. - Bernama