KEPALA BATAS: Umno perlu mengubah pendekatan dalam usaha merampas semula kerusi Parlimen yang hilang, termasuk Kepala Batas di Pulau Pinang, menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Naib Presiden Umno, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, menegaskan bahawa keadaan politik kini sangat dinamik, terutama dengan pelaksanaan Undi 18, memerlukan parti itu berubah dan tidak lagi bergantung pada kaedah lama.
“Kita perlu kaji semula strategi sebelum menghadapi pilihan raya. Contohnya, di Pahang, kami sudah mula mendekati golongan muda secara lebih agresif, termasuk pelajar dan anak-anak negeri yang berada di luar Pahang,“ katanya.
Wan Rosdy menambah, jika Umno terus menggunakan pendekatan yang sama, hasilnya tidak akan berubah. Justeru, prestasi sedia ada perlu dikekalkan sambil menambah strategi baharu untuk meyakinkan rakyat menyokong kerajaan.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Kepala Batas, yang turut dihadiri Ketua Umno Bahagian Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.
Wan Rosdy turut menyeru Umno Kepala Batas merangka perancangan khusus untuk merampas semula kerusi Parlimen itu, yang pernah dimenangi bekas Perdana Menteri, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi, dari 1978 hingga 2013.
Pada PRU15, Reezal Merican, yang kini ADUN Bertam, tewas kepada calon Perikatan Nasional (PN), Dr Siti Mastura Muhammad, dengan majoriti 2,867 undi.
Mengenai kenyataan PN yang mendakwa sudah merancang strategi untuk menawan Pahang pada PRU akan datang, Wan Rosdy menyifatkan ia sekadar permainan sentimen.
“Mereka tidak tahu keadaan sebenar di Pahang. Kami sedang berusaha keras untuk merampas semula kerusi yang dimenangi PN,“ tegasnya.
Sebelum ini, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Seri Saifuddin Abdullah, mendakwa PN sudah merangka strategi untuk mempertahankan kerusi sedia ada dan berhasrat menawan Pahang. – Bernama