• 2025-10-17 04:13 PM

KANGAR: Usahawan Perlis perlu cakna terhadap perkembangan ekonomi global dan memahami kehendak pasaran secara mendalam serta bersedia meneroka peluang baharu seiring perubahan dinamik dunia masa ini untuk terus maju dan berdaya saing.

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyeru usahawan supaya terus melangkah ke hadapan dengan memanfaatkan segala perkhidmatan, peluang serta sokongan disediakan agensi dan jabatan seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan lain-lain.

Baginda bertitah peluang perkhidmatan dan sokongan daripada agensi dan jabatan kepada usahawan di Perlis perlu diperluaskan lagi untuk merancakkan ekonomi rakyat melalui pelbagai inisiatif yang telah disusun.

Tuanku Syed Faizuddin Putra menegaskan setiap usahawan ialah duta kecil kepada Perlis yang perlu membawa nama baik negeri itu dengan penuh rasa tanggungjawab dan maruah diri ketika memperkenalkan produk atau menyertai program mahupun di ruang media sosial.

Baginda menyeru usahawan merebut segala peluang yang ada, menuntut ilmu, meluaskan pasaran produk negeri Perlis serta tidak mengabaikan hubungan dengan Allah SWT sebagai sumber keberkatan dan kekuatan dalam setiap langkah perjuangan mencari rezeki.

Timbalan Ketua Pengarah (Khidmat Pengurusan) FAMA Shahrizan Sudiman berkata karnival yang berlangsung empat hari itu menyasarkan nilai jualan RM437,000 dengan penyertaan 60 usahawan pelbagai komoditi.

Beliau berkata penganjuran karnival itu bertujuan membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat menerusi tawaran barangan keperluan harian dengan harga antara 10 hingga 30 % lebih rendah berbanding harga pasaran serta memperkenalkan produk tempatan kepada pengunjung luar.

Shahrizan menyatakan antara barangan yang ditawarkan ialah daging tempatan, ayam segar, telur ayam, sayur-sayuran dan produk Industri Makanan dan Asas Tani (IMAT) selain 1,800 set Kombo MADANI bernilai RM10 yang menjadi tarikan utama pengunjung. – Bernama