IPOH: Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman telah mengambil alih siasatan kes pembunuhan seorang lelaki berusia 57 tahun yang ditemui dengan kesan tikaman dan tembakan di sebuah rumah di Taman Tasek Damai pada 24 Jun lalu. Ketua Polis Perak Datuk Noor Hisam Nordin menyatakan bahawa siasatan awal mendapati kes ini mempunyai kaitan dengan sindiket jenayah terancang.
“Kami juga meminta kerjasama daripada Polis ASEAN (ASEANAPOL) dan Polis Antarabangsa (Interpol) serta pelbagai pihak untuk membantu siasatan. Pada mulanya, ia dilihat sebagai jenayah tempatan, tetapi siasatan lanjut mendedahkan ia melibatkan sempadan antarabangsa dan jenayah terancang,“ katanya selepas merasmikan Program Derma Darah Polis Perak sempena Hari Polis ke-218.
Noor Hisam turut memaklumkan bahawa anak lelaki mangsa berusia 31 tahun, yang sebelum ini ditahan untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, telah dibebaskan dengan jaminan polis selepas tempoh remannya tamat pada Selasa lepas.
Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Abang Zainal Abidin Abang Ahmad melaporkan bahawa mangsa ditemui dengan kesan tikaman dan luka tembakan di dada kiri yang dipercayai menjadi punca kematiannya.