PELABUHAN KLANG: Kapal Armada Ketujuh USS Blue Ridge (LCC19) Amerika Syarikat (AS) berlabuh di Pelabuhan Klang di sini hari ini sekali gus melambangkan kekukuhan hubungan ekonomi, keselamatan dan interaksi sosial yang terjalin lebih 65 tahun antara Malaysia dan AS.
Kapal tentera laut AS itu tiba di Port Klang Cruise Termina (PKCT) pada 9.30 pagi dan disambut Inspektor Jeneral Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Laksamana Muda Abdullah Sani Ismail.
Pegawai Komander Armada Ketujuh AS Naib Laksamana Fred Kacher berkata persinggahan itu memberi peluang untuk pihaknya bertemu dengan anggota dan pegawai TLDM.
“Terima kasih kepada warga Pelabuhan Klang dan Kuala Lumpur atas sambutan yang diberikan terhadap pasukan kami,” katanya ketika lawatan media Armada Ketujuh di sini hari ini.
Selain itu, pertemuan dua hala dirancang melibatkan TLDM dan pemimpin Malaysia dengan barisan kepimpinan Armada Ketujuh dan Blue Ridge.
Pegawai Pemerintah USS Blue Ridge Kapten Nicholas C. DeLeo berkata antara lain perbincangan akan memfokuskan kepada topik berkaitan keselamatan maritim bagi mengukuhkan lagi perkongsian sedia ada.
“Kita mempunyai beberapa kepentingan bersama dengan Malaysia dari segi keselamatan sama ada berkaitan memerangi keganasan, kesedaran domain maritim atau kestabilan serantau.
“Itu semua topik yang kami mahu rundingkan serta memperkukuh hubungan sedia ada melalui dialog dan ini yang kami mahu usahakan,” katanya sambil menambah petugas Armada Ke-7 dan USS Blue Ridge juga akan terlibat dalam beberapa program komuniti.
USS Blue Ridge mula beroperasi pada 1970 dan menjadi kapal kedua tertua dalam tentera laut AS selepas frigat USS Constitution dengan kira-kira 1,000 anak kapal.
Kapal itu armada ketiga milik tentera laut yang dinamakan bersempena Pergunungan Blue Ridge di Pergunungan Appalachian di timur AS.