KUALA LUMPUR: Uzbekistan akan menjadi tuan rumah Forum Perkhidmatan Awam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNPSF 2025) dari 23 hingga 25 Jun di bandar bersejarah Samarkand.
Kedutaan Uzbekistan di Kuala Lumpur dalam satu kenyataan pada Isnin memaklumkan tema utama forum antarabangsa berprestij itu ialah “Lima Tahun Menjelang 2030: Mempercepat Penyampaian Perkhidmatan Awam untuk Masa Depan Mampan”.
Forum tersebut dianjurkan bersama oleh Kerajaan Uzbekistan dan Jabatan Hal Ehwal Ekonomi dan Sosial Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN DESA).
“Penganjuran forum ini memberikan peluang unik kepada Uzbekistan untuk mempamerkan dan menilai pembaharuan perkhidmatan awamnya di peringkat global,” menurut kenyataan itu.
Menurut kenyataan tersebut, UNPSF 2025 merupakan platform antarabangsa utama yang menghimpunkan negara, organisasi antarabangsa dan masyarakat sivil bagi mempromosi penyampaian perkhidmatan awam yang berkesan, menggalakkan inovasi dan menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).
Dalam kenyataan berasingan, forum itu turut menyatakan bahawa Uzbekistan menunjukkan kemajuan positif dalam bidang pembaharuan perkhidmatan awam, dengan inisiatif tertumpu kepada pendigitalan, ketelusan dan profesionalisme yang menyumbang kepada peningkatan kualiti penyampaian perkhidmatan awam secara keseluruhan.
“Selain misi utamanya, forum ini juga akan menjadi platform untuk membentangkan pencapaian dan usaha berterusan Uzbekistan dalam tadbir urus awam, e-kerajaan dan transformasi digital kepada masyarakat antarabangsa, sebagai pencapaian penting bagi negara berdaulat itu di bawah kepimpinan Presiden Shavkat Mirziyoyev,” menurut kenyataan berkenaan.