• 2025-08-21 09:30 PM

LABUAN: Seorang veteran Angkatan Tentera Malaysia didenda RM48,000 oleh Mahkamah Khas Rasuah selepas mengaku bersalah atas 12 pertuduhan menggunakan dokumen palsu.

Fairuzul Fazillah Musa yang pernah bertugas di ATM Labuan didakwa di bawah Seksyen 471 dibaca bersama Seksyen 468 Kanun Keseksaan.

Dia didakwa menggunakan dokumen diketahui palsu sebagai tulen untuk membuat tuntutan Elaun Latihan Tempatan PSSTLDM (BAT E 39) dan Elaun Sagu Hati Tahunan PSSTLDM (BAT E 42 – Jan 2016) antara Januari 2015 hingga Februari 2016.

Tuntutan palsu yang dikemukakan itu berjumlah lebih RM336,000 daripada pihak berkuasa.

Tertuduh kemudian ditawarkan 12 pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 471 dibaca bersama Seksyen 465 Kanun Keseksaan dan mengaku bersalah pada 24 Jan 2025.

Hakim Jason Juga memerintahkan Fairuzul membayar denda RM4,000 bagi setiap pertuduhan dan dia membayar jumlah keseluruhan denda berkenaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Joe Randy Juster, manakala tertuduh tidak diwakili peguam. – Bernama