• 2025-10-17 03:46 PM

BUTTERWORTH: Kementerian Pertahanan akan bekerjasama dengan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan bagi memilih veteran tentera yang layak diserap ke dalam agensi berkenaan.

Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari berkata pihaknya akan menyenaraikan calon terbaik dalam kalangan anggota yang telah menamatkan perkhidmatan.

Keutamaan diberikan kepada bekas anggota pasukan elit Grup Gerak Khas kerana mereka mempunyai kemahiran dan disiplin tinggi yang sesuai dengan keperluan AKPS.

Pemilihan akan dibuat oleh AKPS namun kementerian akan membantu dengan menyenaraikan anggota terbaik untuk diserapkan bagi menjaga pintu masuk utama negara.

Peranan AKPS bukan sahaja melibatkan kawalan sempadan tetapi juga keselamatan di pintu-pintu masuk utama negara.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Graduasi dan Peluncuran Program Pemerkasaan Usahawan Wira Lembaga Tabung Angkatan Tentera di Pangkalan Udara Butterworth.

Majlis itu turut dihadiri oleh Ketua Eksekutif LTAT Mohamad Ashraf Md Radzi.

Ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat Rabu lepas, Adly memaklumkan bahawa veteran tentera daripada skuad elit GGK akan diserap ke dalam AKPS untuk memperkukuh keupayaan aspek kawalan sempadan negara.

Langkah itu sebagai sebahagian daripada pendekatan kerajaan untuk memanfaatkan pengalaman dan kepakaran veteran tentera khususnya membabitkan anggota skuad elit berkenaan.

Pihaknya juga akan mempertimbangkan bekas anggota pasukan elit lain seperti 10 Briged Paratrooper untuk diserap ke dalam AKPS.

Beliau tidak mendedahkan jumlah sebenar veteran yang akan terlibat dalam program penyerapan ini.

Ketika membentangkan Belanjawan 2026, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan bahawa keutamaan akan diberikan kepada pelantikan pegawai dalam kalangan veteran tentera.

Ini bagi memenuhi keperluan 220 tenaga kerja AKPS demi memastikan kesiapsiagaan penuh agensi tersebut.

Ketua Pengarah AKPS Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain menyambut baik keputusan kerajaan ini.

Beliau menyifatkan pengalaman veteran dalam bidang keselamatan dan pertahanan negara sebagai sesuatu yang amat ditagih oleh pihaknya dalam menjayakan hasrat kerajaan. – Bernama