• 2025-07-12 09:56 PM

TASEK GELUGOR: Tiga ladang ternakan babi di Kampung Selamat disahkan positif dijangkiti penyakit Demam Babi Afrika (ASF) selepas ujian makmal oleh Makmal Veterinar Zon Utara.

Dua ladang mencatat kematian tinggi dengan 50 ekor babi mati, manakala banyak lagi menunjukkan simptom jangkitan.

Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Pulau Pinang (JPVPP), Dr Saira Banu Mohamed Rejab, berkata pasukannya telah menjalankan pemeriksaan dan pemantauan rapi bagi membendung penularan wabak tersebut. “Setakat ini, dua ladang mencatat kematian dalam 50 ekor dan banyak yang menunjukkan simptom ASF. Terdapat 63 ladang babi melibatkan 120,000 ekor di kawasan Kampung Selamat,“ katanya.

Sebagai langkah kawalan, JPVPP mengeluarkan Notis Sekatan dan Larangan Pemindahan Binatang di bawah Seksyen 18, Akta Binatang 1953 kepada ladang terjejas. Arahan sekatan pemindahan babi ke rumah sembelih tertentu juga dikenakan bagi mengelakkan penyebaran penyakit ke kawasan lain.

Dr Saira Banu menegaskan ASF tidak berjangkit kepada manusia tetapi memberi kesan besar terhadap industri ternakan babi. “JPVPP menasihati penternak meningkatkan langkah biosekuriti, mengelakkan kemasukan orang luar atau kenderaan tidak disanitasi ke ladang,“ katanya.

Pihak veterinar juga menjalankan pensampelan ke atas babi bergejala di ladang sekitar untuk pengesanan awal. Penternak dinasihati melaporkan sebarang kematian luar biasa ternakan mereka. - Bernama