IPOH: SAC Wan Mohd Zahari Wan Busu dilantik sebagai Ketua Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak berkuat kuasa hari ini.
Beliau yang merupakan bekas Ketua Polis Daerah Kuantan menggantikan SAC Zairulnizam Mohd Zainuddin yang dilantik sebagai Timbalan Pengarah Biro Jenayah Hidupan Liar/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK) JKDNKA Bukit Aman.
Sementara itu Supt Abdul Samad Othman yang sebelum ini menyandang jawatan Penolong Setiausaha Keselamatan Negeri, Seksyen Keselamatan dan Ketenteraman Awam/Krisis Majlis Keselamatan Negara (MKN) Kedah dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Gerik menggantikan Supt Zulkifli Mahmood yang dilantik sebagai Timbalan Komander Pasukan Polis Marin (Operasi/Risik) JKDNKA Bukit Aman.
Supt Jafri Md Zain pula dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Kerian menggantikan Supt Juna Yusoff yang bersara wajib.
Majlis serah terima tugas dan pemakaian pangkat kesemua yang dilantik berlangsung hari ini di Mes Pegawai Kanan Polis Perak disaksikan Ketua Polis Perak Datuk Noor Hisam Nordin.
Noor Hisam dalam ucapannya berkata pelantikan dan pertukaran pegawai kanan polis ini merupakan sebahagian daripada proses biasa, bertujuan memastikan kesinambungan tadbir urus yang berkesan serta memperkukuh keselamatan negeri.