• 2025-07-03 09:53 AM

BUTTERWORTH: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang melaporkan kadar pematuhan pemakaian tali pinggang keledar dalam kalangan pemandu dan penumpang bas ekspres serta persiaran di negeri itu berada pada tahap memuaskan.

Pengarah JPJ Pulau Pinang, Zulkifly Ismail, berkata hasil operasi khas yang dijalankan sejak Selasa lalu, seramai 125 bas ekspres dan 43 bas persiaran telah diperiksa. Tiga notis saman dikeluarkan, melibatkan seorang pemandu bas ekspres dan dua penumpang.

“Kesalahan pemandu bas dikesan di Plaza Tol Sungai Dua menghala selatan pada Selasa. Bas itu dalam perjalanan dari Kedah ke Kuala Lumpur. Dua lagi penumpang dikesan tidak memakai tali pinggang keledar dalam bas dari Ipoh ke Butterworth,“ katanya.

Ketiga-tiga individu dikenakan kompaun RM300 setiap seorang. Zulkifly menyifatkan statistik awal ini sebagai petanda positif bahawa pemandu dan penumpang semakin peka terhadap kepentingan tali pinggang keledar.

Operasi khas ini turut melibatkan pegawai JPJ yang menyamar sebagai penumpang bagi memastikan penguatkuasaan lebih berkesan. Selain itu, pemeriksaan turut dijalankan di Terminal Bas Penang Sentral, Terminal Bas Sungai Nibong, hentian Rehat dan Rawat, serta sekatan jalan raya.

Zulkifly menyeru pemandu dan pengusaha kenderaan awam memastikan sistem tali pinggang keledar dalam kenderaan berfungsi dengan baik. Penguatkuasaan ini dilaksanakan berdasarkan Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Tali Pinggang Keledar dan Sistem Kekangan Kanak-Kanak) 1978 Pindaan (2008).