• 2025-10-21 05:19 PM

KOTA SAMARAHAN: Seorang wanita maut selepas digilis lori dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 10, Jalan Kota Samarahan-Tabuan Jaya.

Kejadian berlaku kira-kira jam 9.45 pagi tadi di kawasan lampu isyarat.

Ketua Polis Daerah Kota Samarahan Supt Damataries Lautin berkata siasatan awal mendapati motosikal yang ditunggang lelaki berusia 32 tahun melanggar bahagian belakang kereta yang berhenti di lampu isyarat.

“Akibat pelanggaran itu, pembonceng motosikal Nur Aisyah Abdullah, 40-an terjatuh ke lorong kiri jalan sebelum digilis lori yang sedang bergerak lurus,“ katanya dalam kenyataan.

Mangsa wanita meninggal dunia di tempat kejadian akibat kejadian tersebut.

Penunggang motosikal Rayven Roman mengalami cedera parah dalam kemalangan itu.

Pemandu kereta dan lori tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian tersebut.

Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Umum Sarawak untuk bedah siasat.

Kes sedang disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Seksyen tersebut membabitkan kesalahan menyebabkan kematian akibat memandu secara cuai. – Bernama