JOHOR BAHRU: Seorang wanita mendakwa kerugian RM105,650 selepas terperdaya dengan tawaran pekerjaan secara dalam talian tidak wujud menerusi aplikasi WhatsApp, Rabu lepas.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara ACP Balveer Singh Mahindar Singh berkata mangsa yang berusia 41 tahun telah menerima satu pautan yang menawarkan peluang pekerjaan secara dalam talian daripada ‘Luxe Legacy’, selain menjanjikan komisen bagi setiap tugasan yang disiapkan.

Beliau berkata tawaran itu menjanjikan pulangan modal sebanyak 10 hingga 15 peratus daripada modal yang dilaburkan.

“Mangsa yang tertarik dengan komisen serta tugas mudah yang ditawarkan telah mendaftar sebelum melakukan 10 transaksi ke lima akaun berbeza yang diberikan dengan jumlah keseluruhan modal RM105,650, bermula Khamis hingga Sabtu lepas.

“Bagaimanapun, mangsa menyedari dirinya ditipu apabila mendapati laman web terbabit dan segala perbualan telah disekat sebelum membuat laporan polis, semalam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan siasatan juga meliputi sama ada wujud penglibatan keldai akaun.