KUALA LUMPUR: Seorang wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menipu seorang pesara kerajaan dalam urusan pelaburan emas ‘Paddy Jewellery’ membabitkan wang berjumlah lebih RM20,000, Mei lepas.

Siti Hajartul Haini Abd Hamid, 37, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret S. Mageswary.

Mengikut pertuduhan, Siti Hajartul Haini didakwa menipu Mohd Zaid Ibrahim, 50, dengan memperdaya pelaburan emas Paddy Jewellery sehingga mendorong lelaki itu menyerahkan RM26,750 melalui satu akaun bank atas nama Pawana Sweet, milik syarikat wanita itu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah bank di Jalan Raja Muda Abdul Aziz, di sini pada 12.20 tengah hari, 2 Mei lepas mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun dan maksimum 10 tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Zul Hilmi Latif mencadangkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin, namun Siti Hajartul Haini yang tidak diwakili peguam merayu jaminan rendah atas alasan dia tidak bekerja.

“Suami saya juga tidak bekerja dan dia sedang menerima rawatan demam denggi selain menghidap penyakit asma dan darah tinggi. Saya kini menjaga suami, empat anak dan bapa mertua,“ kata tertuduh.

Mageswary membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 20 Dis ini untuk sebutan kes bagi lantikan peguam.