BALING: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) akan melaksanakan tindakan kompaun ke atas warga asing yang tinggal lebih masa tidak melebihi 90 hari di negara ini, berkuat kuasa, Oktober depan.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata langkah tersebut bagi mempercepat proses tindakan undang-undang, tanpa perlu membuka kertas siasatan dan pendakwaan di mahkamah.
“Bila kita kenakan kompaun maknanya ia tidak berakhir dengan pendakwaan, asalnya kes tinggal lebih masa kena buka kertas siasatan dan mesti pendakwaan.
“Tapi ada kategori yang kita kenakan kompaun, iaitu mereka yang tidak tinggal di negara ini melebihi 90 hari,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kampung Angkat dan Sekolah Angkat MADANI JIM di Sekolah Kebangsaan Rambong Pulai, di sini hari ini.
Saifuddin Nasution berkata bagi warga asing yang tinggal lebih masa antara satu hingga 30 hari, kompaun yang dikenakan ialah RM30 sehari sehingga maksimum RM900.
Sementara bagi yang tinggal lebih masa antara 31 hari hingga 60 hari, kompaun terus secara automatik sebanyak RM1,000 dikenakan, manakala bagi tinggal lebih masa antara 61 hari hingga 90 hari kompaun yang dikenakan ialah RM2,000.
“Tetapi kalau terlebih tinggal di negara ini melebihi 90 hari atau misalnya sembilan tahun, kesalahan itu kita akan buka kertas siasatan,” katanya.
Saifuddin Nasution berkata langkah mengenakan kompaun itu, diyakini dapat mempercepatkan proses tindakan undang-undang kepada hanya satu hari berbanding sebelum ini yang memakan masa sehingga 14 hari.
Beliau berkata ia juga akan mempercepat proses penghantaran pulang warga asing yang terlibat, sekali gus mengurangkan kesesakan di depoh tahanan JIM seluruh negara, selain memberi peluang kepada warga asing tinggal lebih masa kerana disebabkan oleh alasan munasabah.
Sementara itu Saifudin Nasution berkata sebanyak 35,225 pendatang tanpa izin ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen di seluruh negara pada tahun ini, setakat 30 Ogos.
Beliau berkata tangkapan itu, hasil daripada 9,500 operasi yang dijalankan JIM membabitkan pemeriksaan terhadap 152,000 warga asing di seluruh negara.
“Sementara itu, sebanyak 36,557 warga asing sudah dihantar pulang ke negara asal setakat 28 Ogos, ini tidak termasuk tangkapan baharu 35,225 orang pada tahun ini,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Saifuddin Nasution berkata polis masih menjalankan siasatan menyeluruh berhubung seorang lelaki rakyat Malaysia yang dilaporkan ditahan bersama dua laras senjata api jenis M16 dan 450 butir peluru di Thailand, baru-baru ini.
“Saya telah diberi taklimat lengkap oleh polis tentang status isu ini, kerana tangkapan itu dibuat di Thailand, maka pihak Thailand akan menjalankan siasatan dan menjadi kebiasaan pihak Thailand akan maklumkan juga kepada kita.
“Kita juga telah buat pemprofilan (terhadap suspek), berdasarkan kepada siasatan awal, ia tidak terkait dengan elemen sindiket atau pun jenayah-jenayah yang kita anggap sebagai satu kumpulan besar dan terancang,” katanya - BERNAMA