PORT DICKSON: Seorang wanita warga emas maut selepas kereta yang dipandunya bertembung dengan sebuah bas pekerja di Dataran Segar di sini awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Port Dickson Supt Maslan Udin berkata siasatan awal mendapati kemalangan pada jam 5.30 pagi itu berlaku di sebuah persimpangan lampu isyarat.
Kemalangan itu melibatkan sebuah bas yang bergerak dari arah Port Dickson ke Seremban dan sebuah kereta yang dipandu mangsa dari arah Dataran Segar ke Lukut.
Mangsa berusia 69 tahun mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan meninggal dunia semasa menerima rawatan di zon kecemasan Hospital Port Dickson.
Pemandu bas lelaki berusia 41 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian tersebut.
Kedua-dua kenderaan telah ditahan untuk pemeriksaan Puspakom bagi membantu siasatan lanjut.
Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian sedang diperoleh untuk membantu proses siasatan.
Kes ini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – Bernama