KUALA TERENGGANU: Seorang warga emas kerugian RM291,200 selepas menjadi mangsa penipuan tawaran kerja sambilan dalam talian.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Azli Mohd Noor berkata mangsa seorang wanita yang berusia 71 tahun telah berkomunikasi dengan rakannya yang hanya dikenali di laman sosial Facebook pada 22 Ogos lepas.

Beliau berkata mangsa yang juga seorang peniaga dari Kuala Terengganu telah ditawarkan membuat kerja sambilan dengan menjual barangan secara dalam talian dan dijanjikan komisen sebanyak 15 peratus.

“Pengadu perlu mengeluarkan modal bagi barangan yang hendak dijual terlebih dahulu. Suspek berjanji mangsa akan diberikan semula wang modal dan komisen sebanyak 15 peratus daripada modal yang dikeluarkan dalam tempoh sebulan.

“Mangsa yang berminat untuk menambah pendapatan telah membuat 14 kali bayaran menggunakan wang simpanannya ke beberapa akaun di bank berlainan seperti yang diarahkan suspek,“ katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, Azli berkata mangsa mula curiga apabila suspek mengarahkan dia membuat bayaran lain sedangkan wang komisen yang dijanjikan belum diterima.

“Mangsa membuat laporan polis semalam. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. Polis menasihati orang ramai supaya berhati-hati dengan pelbagai taktik penipuan pada masa sekarang,“ katanya.